KOTA BHARU: Monsun Timur Laut (MTL) yang membawa hujan lebat dan banjir di beberapa kawasan ketika ini menyaksikan beberapa jenis ikan serta sayur mengalami peningkatan harga.
Tinjauan Utusan Malaysia di Pasar Siti Khadijah mendapati, harga ikan selayang, selar, kembung dan sayur seperti timun batang, terung serta bendi mengalami kenaikan antara RM1 antara RM3 sekilogram (kg).
Peniaga ikan, Mohd. Iswadi Daud, 30, berkata, walaupun berlaku kenaikan, dia tidak berdepan masalah untuk menjual ikan segar buat waktu ini.
Berita berkaitan:
Menurutnya, hal ini kerana masih ada nelayan yang turun ke laut walaupun berdepan dengan cuaca tidak menentu.
“Ketika ini, harga ikan selayang dijual pada harga RM10/kg berbanding RM8/kg. Ikan ikan kembung dari RM9 naik kepada RM12/kg manakala ikan selar RM14 hingga RM20/kg bergantung kepada saiz,” katanya.
Seorang peniaga sayur, Tasnim Abdullah, 27, memberitahu, bekalan sayur masih boleh diperoleh walaupun walapun stok berkurangan.
Katanya, kebanyakan peniaga terpaksa berkongsi untuk mendapatkan sayur-sayuaran yang mahu dijual.
“Jadi setakat ini, soal bekalan tiada masalah. Untuk makluman, harga timun batang dijual RM4 hingga RM5/kg) berbanding sebelum ini RM3/kg.
“Terung sebelum ini jual pada RM6 naik kepada RM8 hingga RM10/kg. Petola RM8/kg berbanding RM6/kg sebelum ini. Bagaimanapun, sayur lain iaitu sawi dan kubis masih murah dijual antara RM2.50 hingga RM4/kg,” ujarnya. – UTUSAN











