Harga ayam cecah RM11 sekilogram

Harga ayam cecah RM11 sekilogram

MOHD. Anuar Mohd. Rashid memotong ayam yang ditempah pelanggan di Pasar Bukit Besar, Kuala Terengganu, semalam. – UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Harga ayam segar di beberapa lokasi di daerah ini tinggi mencecah RM11 sekilogram selepas kerajaan menamatkan subsidi ayam dan harga kawalan bermula kelmarin.

Tinjauan Utusan Malaysia di Pasar Manir di sini, semalam mendapati, harga berkenaan merupakan yang tertinggi berbanding beberapa lokasi lain di sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

Seorang peniaga yang enggan dikenali mendakwa, kenaikan itu berlaku ekoran peningkatan harga di peringkat pembekal sekali gus memaksa mereka menjual pada harga RM11 seki­logram.

“Sebelum ini pun sama, kalau mereka (pembekal) naikkan harga 50 sen, saya juga terpaksa naikkan harga jualan 50 sen dan jika naik RM1, saya terpaksa naik­kan RM1 lagi.

“Buat masa ini, harga dite­rima daripada pembekal adalah RM10 sekilogram sebelum naik kepada RM10.50 sekilogram dan saya terpaksa menjual pada harga RM11 sekilogram,” katanya ditemui di sini, semalam.

Sementara itu, tinjauan di Pasar Bukit Besar pula mendapati harga sumber protein itu lebih rendah iaitu antara RM9 hingga RM10 sekilogram walaupun tiada lagi harga kawalan ditetapkan kerajaan.

Seorang peniaga, Mohd. Anuar Mohd. Rashid, 38, berkata, mereka masih mampu bertahan dengan harga lebih murah, namun, tidak menolak kemungkinan akan berlaku kenaikan dalam masa terdekat.

Katanya, penurunan harga juga boleh berlaku memandangkan bekalan ayam yang mencukupi di peringkat penternak dan pembekal yang boleh menyebabkan berlaku lambakan.

“Minggu ini ada sedikit pengurangan harga daripada pembekal dan bekalan juga mencukupi, tiada masalah. Cuma, kami belum dapat perkembangan berkenaan harga pada ming­gu depan.

“Semuanya bergantung kepada harga di peringkat pembekal, jika turun, kami akan menurunkan harga jualan runcit, namun, jika naik, kami terpaksa menaikkan harga,” jelasnya.

Seorang suri rumah, Intan Syazliana Mokhtar, 41, pula menyifatkan harga runcit ayam masih stabil dan tidak membebankan pengguna walaupun pada awalnya bimbang dengan penamatan harga kawalan.

“Sebagai pembeli, saya berharap harga mampu milik bagi bahan mentah seperti ayam dan ini sedikit melegakan pengguna dalam situasi ekonomi yang mencabar,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN