Guru lelaki di Padawan ditahan berhubung kes amang seksual

Guru lelaki ditahan berhubung kes amang seksual pelajar asrama

MANCHA Ata (dua dari kiri) bercakap dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di Kuching hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Seorang guru yang juga merupakan warden asrama di sebuah sekolah daerah Padawan ditahan polis semalam kerana disyaki melakukan amang seksual melibatkan dua pelajar lelaki tingkatan tiga.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kes terbabit pada 12 November lalu oleh penjaga mangsa. 

“Suspek berumur 40 tahun sudah ditahan dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

“Sekiranya disabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebat,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini hari ini. 

Dalam pada itu, Mancha turut berkata, suspek yang juga merupakan seorang guru boleh didakwa di bawah Seksyen 16 di bawah akta yang sama.

“Kes tersebut boleh membawa hukuman tambahan penjara tidak melebihi lima tahun dengan dua sebatan kerana mangsa di bawah pemeliharaan dan pengawasannya.

“Ketika ini kes masih lagi dalam siasatan polis dan suspek ditahan reman selama dua hari bermula hari ini,” tambahnya.

Berdasarkan laporan yang dibuat, mangsa disentuh secara seksual semasa dimandikan oleh suspek. Malah, mangsa juga disentuh semasa dibawa ke rumah suspek untuk tujuan berehat ketika mangsa demam. 

Sehubungan itu, Mancha menggesa agar orang ramai lebih peka dan prihatin dengan kes-kes kesalahan seksual terhadap kanak-kanak kerana ia boleh memudaratkan kesihatan emosi dan mental yang berpanjangan sekiranya tidak dibendung awal.

“Kegagalan memberi maklumat mengenai kes amang seksual terhadap kanak-kanak boleh didenda tidak melebihi RM5,000 seperti yang termaktub di bawah Seksyen 19 Akta yang sama,” tambahnya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN