PETALING JAYA: Pusat Pilihan Pengguna (CCC) menyifatkan keputusan kerajaan Malaysia menggugurkan klausa generasi penamat (GEG) sebagai langkah penting dalam mempertahankan hak pengguna untuk memilih kebebasan individu menentukan gaya hidup mereka.
Wakil Pusat Pilihan Pengguna Malaysia, Tarmizi Anuwar berkata, komitmen kerajaan memberi keutamaan kepada pilihan pengguna dan mengiktiraf hak pengguna yang bertanggungjawab dalam menentukan gaya hidup yang kurang berisiko.
Katanya, ini bukan keputusan yang mudah kerana kerajaan mengambil risiko mendapat kritikan tetapi ini adalah keputusan yang betul dan harus diambil.
“Keputusan ini selari dengan perkembangan terkini di New Zealand di mana rancangan untuk larangan generasi juga akan ditinggalkan oleh kerajaan baharu.
“Trend global berpaling ke arah mengiktiraf bahawa individu sepatutnya mempunyai autonomi untuk membuat pilihan bagi diri mereka sendiri.
“Malaysia sepatutnya mengekalkan keputusan ini dan terus bergerak secara konsisten ke arah dasar yang memberdayakan pengguna bukannya menyekat mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
Semalam, media melaporkan, Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 yang dibentangkan semalam menggugurkan peruntukan berkaitan GEG.
Justeru, tiada lagi larangan merokok kepada individu yang lahir selepas 1 Januari 2007 dalam versi baharu akta berkenaan.
Mengulas lanjut, Tarmizi berkata, RUU Kawalan Produk Tembakau untuk Kesihatan Awam 2023 adalah langkah baik dalam merangka kawal selia produk vape yang sebelum ini tidak dikawal selia dan disalah faham oleh orang awam.
“Ini adalah masa terbaik untuk memastikan pengguna mempunyai akses kepada produk yang di kawal selia dan mematuhi piawai tetap untuk melindungi mereka daripada risiko yang tidak diingini.
“Jika strategi pengurangan kemudaratan digunakan, tentu ada potensi untuk secara berkesan mengurangkan kadar merokok kerana vape adalah produk yang secara saintifik terbukti mampu menjadi alternatif yang kurang berisiko untuk berhenti merokok,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berpendapat, definisi merokok dalam akta itu yang menyamakan rokok dan vape perlu diperbetul kerana ia adalah dua perkara yang berbeza.
“Penggunaan tembakau tidak dapat disangkal adalah punca utama kanser dan kematian kanser yang boleh dielakkan. Manakala, vape adalah alat pengurangan risiko yang inovatif yang telah diiktiraf sebagai alternatif yang lebih selamat daripada merokok oleh Agensi Kesihatan Awam England, Cancer Research United Kingdom, dan Kementerian Kesihatan New Zealand.
“Merokok dan vape perlu dibezakan kerana ini penting untuk memastikan orang ramai dapat memahami risiko kesihatan yang berkaitan dan membuat keputusan termaklum tentang penggunaan produk ini,” katanya.
Jelas beliau, penggunaan takrifan seperti itu menyebabkan permasalahan dari segi penyediaan garis panduan dan penyampaian maklumat yang jelas kepada orang ramai.
“ Sebagai contoh produk merokok dilarang untuk membuat pengiklanan, promosi dan penajaan menyebabkan produk kurang kemudaratan seperti vape juga termaktub kepada peraturan ini.”
“Takrifan ini perlu dibezakan agar produk pengurangan bahaya mempunyai kebebasan untuk memasarkan dan mengiklankan produk mereka secara bertanggungjawab.
“Ini penting supaya maklumat yang tepat dapat sampai kepada perokok semasa dan memindahkan mereka kepada alternatif yang kurang berbahaya.
“Larangan penjenamaan dan tanda amaran yang besar boleh mencetuskan pengeluaran produk palsu dan mengelirukan pengguna,” katanya. -UTUSAN