PETALING JAYA: Grab Malaysia menyumbang bantuan kewangan sebanyak RM1 juta melalui Mercy Malaysia kepada Tabung Bantuan Palestin kerana bersimpati dengan nasib masyarakat terjejas akibat konflik di Gaza di samping mengutuk sebarang tindakan keganasan mengancam kemanusiaan.
Grab Malaysia dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya sekali lagi berganding bahu dengan Mercy Malaysia menghulurkan bantuan dan sokongan kepada Tabung Bantuan Palestin bagi membantu komuniti yang disokong oleh pertubuhan itu secara aktif sejak 2008.
“Grab Malaysia telah menjalinkan kerjasama yang erat dengan Mercy Malaysia sejak 2021, menerusi pembabitan dalam pelbagai bantuan kemanusiaan di Malaysia, termasuk tabung bantuan banjir serta pengurusan bencana.
“Bagi mengatasi keperluan mendesak yang dihadapi oleh komuniti rentan yang terjejas di Gaza, Palestin berikutan konflik yang berterusan, Grab Malaysia akan menyumbang bantuan kewangan bernilai RM1 juta melalui Mercy Malaysia.
“Pengguna Grab juga boleh menyumbang melalui GrabPay atau menukar GrabRewards mereka untuk menyokong usaha Mercy Malaysia, sekaligus menyumbang untuk membuat perubahan yang nyata dalam kehidupan individu yang terjejas,” kata Grab Malaysia dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Grab Malaysia menyasarkan untuk memenuhi keperluan kritikal bagi mereka yang terjejas dengan membantu menyediakan akses kepada perubatan, makanan, bekalan air dan mengutamakan kesejahteraan mereka.
“la juga menekankan komitmennya kepada prinsip kemanusian dan keamanan dan secara keras menentang sebarang keganasan yang melanggar hak asasi manusia. Syarikat ini menyokong sebarang usaha yang membawa kepada keamanan yang berkekalan serta adil,” katanya.
Dalam pada itu, Grab Malaysia dan Mercy Malaysia sedang bekerjasama untuk mewujudkan program dan inisiatif yang mampan di dalam memastikan kesan positif berkekalan kepada pelbagai komuniti yang terjejas dengan menyasarkan pemulihan segera, daya tahan dan sokongan jangka panjang.
“Selain itu bermula 8 November hingga 8 Mei 2024, Grab akan memadankan jumlah yang didermakan kepada Tabung Bantuan Palestin Mercy Malaysia melalui GrabRewards, sebagaimana pelaksanaan sumbangan amal melalui GrabRewards sebelum ini,” katanya. – UTUSAN










