PEMBERIAN geran Dana Kandungan Digital (DKD) dilihat sebagai satu inisiatif yang baik oleh kerajaan menerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang diyakini mampu merancakkan lagi industri perfileman tempatan.
Bagaimanapun, satu senario yang dapat dilihat kini, terdapat segelintir penerima geran tersebut yang bersikap tidak serius dalam menghasilkan karya.
Sama ada disengajakan atau tidak, wujud karya-karya yang diketengahkan kepada masyarakat dan penonton yang dilihat tidak mencapai pemantapan standard sehingga kemudiannya menimbulkan kesangsian.
Dalam erti kata lain, tahap kualitinya terlihat seperti dihasilkan oleh tenaga kreatif amatur atau bahkan mungkin sekadar menggunakan tenaga pelajar-pelajar seni kreatif yang masih mentah, tidak berpengalaman.
Tidaklah semua, namun tidak dapat dinafikan situasi ini wujud sehingga secara rambangnya menyaksikan filem-filem tempatan yang baharu dan mewarnai panggung wayang sekarang, masih tidak mencapai standard atau kualiti yang tinggi.
Jadi, buat sekadar buat? Asal boleh? Atau pun tangkap muat sahaja filem-filem ini dihasilkan?
Mengajukan pertanyaan ini kepada aktor tersohor, Shaheizy Sam, dia yakin, selain penerbit dan pengarah, golongan pelakon juga berhak untuk menyuarakan pandangan mereka berhubung perkara ini.
Pun begitu, neutral dalam meluahkan pandangan, kata Sam, untuk mengandaikan semua penerima geran DKD selesa bersikap tangkap muat untuk menghasilkan filem adalah tidak adil.
Katanya, dia percaya, secara umum, semua penerima geran tersebut telah mencuba sedaya upaya untuk menghasilkan dan mengangkat karya tempatan.
Namun, adakalanya filem tersebut tidak mendapat keadilan dari sudut sambutan penonton yang memberangsangkan dan sebagainya.
“Sebagai pelakon yang ditugaskan untuk melaksanakan sesebuah karya daripada penerbit dan pengarah itu, kami juga boleh menilai sama ada produksi itu bersungguh atau tidak dalam menghasilkan sesebuah naskhah.
“Tetapi tak adil untuk salahkan semua pembikin filem dan label mereka sebagai sekadar tangkap muat apabila menerima geran DKD. Bagi saya, pembikin filem cuma berpegang kepada apa yang mereka percaya betul.
“Mungkin orang lain tengok mereka buat sambil lewa. Tetapi kita tak tahu niat dan usaha mereka yang telah dibuat dengan sehabis baik namun orang pula tak boleh terima.
“Jadi, untuk melabel siapa yang lebih layak terima dana itu atau tidak, bukan kita. Tetapi saya letak pada tanggungjawab dan kebijaksanaan pemberi-pemberi dana itu sendiri,”katanya.
Tambah Sam, bukan dia tidak mahu bercakap soal kepentingan kualiti pada sesebuah naskhah filem itu. Bahkan, dia percaya, ia juga sepatutnya memainkan peranan yang penting bagi menarik minat penonton untuk ke pawagam.
Kualiti filem sangat subjektif
Pun begitu, kata pelakon berusia 41 tahun ini, penilaian aspek kualiti sebenarnya terlalu subjektif untuk dibahaskan.
“Nak cakap mengenai kualiti filem yang dihasilkan oleh penerima geran ini rasanya agak sukar kerana kualiti itu sendiri sangat subjektif. Setengah orang mungkin suka sesebuah naskhah itu, ada pula yang tidak.
“Yang saya nak tanyanya ialah, apakah objektif pemberi dana ini? Ke mana hala tuju mereka? Adakah ada percubaan untuk membawa karya-karya itu ke luar negara? Kalau betul nak bawa hingga ke luar negara, carilah pembikin-pembikin filem yang mempunyai reputasi bagus dalam kerja mereka.
“Contohnya, macam penerbit dan pengarah filem La Luna atau Tiger Stripes. Mereka ini dah terbukti sudah sampai ke Jepun, Indonesia. Filem Tiger Stripes contohnya, sudah sampai Oscar, menang juga di Festival Filem Cannes.
“Rasanya kali terakhir kita menang anugerah di festival filem adalah sekitar 13 tahun lepas,”katanya.
Tegas pemenang Anugerah Skrin 2018 ini lagi, dia yakin negara juga telah melahirkan ramai pengarah muda yang berpotensi tinggi dalam menghasilkan filem berkualiti.
“Sekarang pun industri telah melahirkan ramai pengarah yang berkualiti, jadi yakinlah pada hasil kerja mereka. Saya berikan contoh, Syamsul Yusof. Pemberi dana ini dapatkanlah pembikin filem seperti Syamsul yang mana kita tahu, ramai telah menerima baik hasil-hasil kerjanya selama ini.
“Saya percaya, kita tidak cuma mahu melihat ekosistem industri seni filem cuma bergerak hanya di dalam negara sahaja. Kita juga tentunya mahu melangkah hingga ke peringkat antarabangsa berada setanding dengan karya-karya luar negara,”katanya.
Habis