Filem bukan tempat nak tunjuk benda baik sahaja - Budak Flat dedah hidup miskin bandar - Utusan Malaysia

Filem bukan tempat nak tunjuk benda baik sahaja – Budak Flat dedah hidup miskin bandar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penasihat filem Budak Flat, Syafiq Yusof, ingin menampilkan realiti sebenar yang dihadapi golongan miskin bandar di kediaman kos rendah sekitar Kuala Lumpur.

Oleh itu, Syafiq memberi kebebasan sepenuhnya kepada, pengarah Eugene Lim untuk memberikan kritikan sosial kepada budaya di rumah flat berdasarkan pengalamannya membesar di kediaman itu.

“Pengarah, Eugene Lim ialah seorang kaum Cina yang membesar di rumah flat serta bergaul dengan banyak bangsa. Walaupun cerita ini fiksyen, namun sedikit sebanyak ia merupakan cebisan hidup daripada pengalamannya.

“Budak Flat ialah refleksi hidup. Kita tidak mahu buat filem semata-mata mahu tunjuk apa yang baik sahaja. Wayang adalah cerminan kehidupan, bukan sekadar angan-angan.

“Walaupun Budak Flat ditayangkan menerusi platform over-the-top yang tidak memerlukan kelulusan daripada Lembaga Penapisan Filem, namun kami bertanggungjawab untuk membuat tapisan sendiri agar ia tidak terlalu sensitif sehingga boleh menimbulkan kekecohan,” katanya.

Syafiq ditemui Utusan Malaysia di majlis tayangan perdana dan sidang media filem Budak Flat baru-baru ini.

Memilih rumah flat ikonik dan legenda di sebuah lokasi di Kuala Lumpur, penerbit, Shamin Yusof menganggap pengarah telah melahirkan sebuah identiti IP baharu kepada Skop Production selain jenama filem-filem gengster.

“Menggunakan pangsapuri ikonik di pusat bandar Kuala Lumpur sebagai latar belakang cerita, saya ingin mengetengahkan kepelbagaian, tekstur dan suasana lasak flat tersebut yang unik.

“Bukan itu sahaja kita juga ingin membawakan bagaimana kehidupan komuniti di flat ke dalam layar.

“Kami teruja untuk berkongsi kisah mendebarkan ini dengan bukan hanya kepada penonton tempatan, tetapi penonton Asia menerusi perkhidmatan Prime Video,” tambah Shamin yang sebelum ini menerbitkan banyak filem aksi seperti KL Gangster Underworld dan Abang Long Fadil.

Diberi kepercayaan membawakan watak utama sebagai Aman, pelakon, Zahiril Adzim terharu kerana sepanjang penggambaran mereka dijaga rapi oleh Organisasi Rukun Tetangga di flat tersebut.

“Sewaktu penggambaran, saya ada kongsi foto saya berlatar belakang flat berkenaan. Ramai yang komen mengatakan itu flat lagenda.

“Kini, semuanya berubah. Kami dijaga rapi oleh komuniti rukun tetangga di sana. Ada satu malam mereka perhatikan sahaja saya berjalan, rupanya mereka nak pastikan saya selamat sampai ke ‘base’ selepas penggambaran,” dedahnya.

Budak Flat menceritakan adik-beradik saling bertelagah untuk menjadi ketua di flat mereka. Konflik bermula apabila ada seorang lelaki yang terbunuh dan mereka saling mencurigai siapakah pemangsa yang sebenarnya.

Budak Flat ditayangkan menerusi aplikasi Prime Video bermula semalam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN