KUALA LUMPUR: Empat ahli Parlimen pembangkang memohon supaya tempat duduk mereka diubah susulan sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, beliau menerima permohonan mereka hari ini dan akan mempertimbangkannya memandangkan Akta Anti Lompat Parti tidak menyekat mana-mana pihak untuk memberi sokongan tanpa keluar parti.
“Mereka memohon pindah kerusi kerana mungkin tak selesa duduk dengan teman lama, itu prerogatif dan hak saya. Mungkin saya boleh ubah bagi nyawa sedikit kepada mereka, mungkin selepas Deepavali.
“Tapi pertukaran tempat duduk bukan sebahagian daripada undang-undang, tengok dulu, saya belum buat keputusan kerana baru terima surat mereka jadi mereka belum pindah ke mana-mana kerusi,” katanya dalam sidang akhbar di Parlimen hari ini.
Beliau memberi contoh bagaimana Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dibenarkan berpindah tempat duduk selepas menarik sokongannya terhadap kerajaan.
“Masing-masing ada hak nak bagi sokongan. Contohnya, Ahli Parlimen Gua Musang memberi sokongan selepas mendengar pembentangan Belanjawan 2024 yang disampaikan oleh Perdana Menteri kerana ia tentang pembangunan tapi dia masih kekal dengan parti dia.
“Jadi, saya akan teliti perkara ini dan meletakkan mereka di tempat yang selesa, saya faham perasaan mereka, saya sendiri pun nak mewujudkan situasi menang menang dan dalam soal ini saya mahu menjadi seorang hakim yang adil,” katanya.
Beliau mengulas kedudukan empat ahli Parlimen pembangkang iaitu Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan) setelah mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri. – UTUSAN