MELAKA: Satu enakmen mewajibkan para petani di negeri ini mendaftar dengan Jabatan Pertanian perlu digubal bagi membolehkan kerajaan negeri memiliki data pertanian yang tepat.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, ketiadaan undang-undang sedemikian menyebabkan keterbatasan dalam pengumpulan data membabitkan keterjaminan makanan negeri seperti jumlah petani yang mengusahakan sesuatu komoditi dan jumlah pengeluaran.
Beliau berkata, perbincangan dengan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu telah dilakukan bulan lalu untuk merealisasikan perkara itu.
“Saya juga ingin memohon, insya-Allah dalam Dewan yang mulia ini kita sudah bincang dengan Jabatan Pertanian untuk kita, mungkin kita akan gubal ataupun ubah satu enakmen, enakmen yang mana kita minta petani ini sama ada kecil ataupun besar mesti berdaftar dengan kita.
“Sebab kalau kita tidak dapat petani punya data dan kita tidak tahu mungkin Speaker dekat rumah ada tanam pokok cili, mungkin pokok cili itu sebab ada bajet sendiri dan tidak maklumkan kepada Jabatan Pertanian. Maka kami tidak tahu pun Speaker tanam pokok cili.
“Jadi data itu tidak ada dekat kami, lepas ini kalau boleh kita ada satu enakmen yang telah kita persetujui dalam mesyuarat bulan lepas perbincangan dengan menteri untuk kita minta mereka-mereka ini dapat daftar dengan Jabatan Pertanian,” katanya ketika Sesi Pertanyaan-pertanyaan Lisan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Datuk Lim Ban Hong (BN-Klebang) mengenai usaha kerajaan negeri menggalakkan golongan pesawah dan petani beralih ke pertanian moden.
Tambah Muhamad Akmal, untuk penanaman padi, Jabatan Pertanian bercadang menggunakan jentera moden seperti jentanam padi (paddy transplanter) bagi menggantikan penanaman secara konvensional di Melaka.
Jelasnya, penggunaan jentera moden dapat menjimatkan kos, masa dan tenaga serta mengurangkan risiko percambahan benih padi yang rendah, kesan daripada benih padi tenggelam.
“Perolehan paddy transplanter ini akan dibuat di bawah Program Transformasi Pertanian melalui Jabatan Pertanian pada 2024,” katanya. – UTUSAN










