KUALA LUMPUR: Dua syarikat swasta, Etika dan Atlas Vending (M) Sdn. Bhd. berkolaborasi bagi menjayakan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) dengan menawarkan harga minuman serendah RM1.
Tawaran harga serendah RM1 itu sekali gus menyahut seruan kerajaan yang dibuat oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli supaya syarikat swasta menurunkan harga makanan dan minuman baru-baru ini.
Rafizi berkata, kedua-dua syarikat tersebut merupakan syarikat swasta yang pertama menyahut galakan kerajaan supaya menurunkan harga makanan dan minuman.
“Setakat ini, Atlas adalah satu-satunya syarikat swasta yang telah menghubungi kami.
“Air yang dijual dengan harga RM1 mungkin tiada kesan tetapi tujuan utama kita adalah untuk menggalakkan seberapa ramai pemain swasta menjadi lebih kreatif dan inovatif menjual produk mereka,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Kempen Penghilang Dahaga di Balai Ketibaan KL Sentral hari ini.
IPR bertujuan membantu golongan miskin tegar, miskin dan B40 menjana pendapatan mampan dan melibatkan kerjasama antara kerajaan, rakyat dan rakan strategik selaras dengan pendekatan keseluruhan negara seperti digariskan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) serta prinsip Ihsan di bawah Kerangka Dasar Madani.
Rafizi berkata, faktor kos makanan dan minuman yang semakin meningkat juga menyebabkan pemain industri makanan swasta mencari jalan lebih kreatif untuk kekal bersaing.
Bagaimanapun, beliau mengalu-alukan lebih banyak lagi syarikat swasta lain untuk bekerjasama menangani kelewatan yang dihadapi kementeriannya dalam menggunakan mesin layan diri di bawah IPR.
Pada 14 Jun lepas, Rafizi berkata, kementeriannya menjangkakan perolehan baki 4,900 mesin layan diri yang disasarkan tahun ini di bawah IPR menjelang Ogos dan kini tender telah ditutup manakala proses perolehan telah selesai.
Menurutnya, dengan mengambil kira proses yang ketat, sasaran kerajaan adalah untuk menggunakan baki 4,900 mesin layan diri dalam tempoh lima hingga enam bulan.
“Usahawan B40 yang mengambil bahagian boleh menjana pendapatan bersih purata RM3,000 hingga RM5,000 sebulan.
“IPR juga melibatkan tiga inisiatif iaitu usahawan makanan (Insan), usahawan tani (Intan), dan operator perkhidmatan (Ikhsan),” katanya. – UTUSAN