PTPTN umum Dividen SSPN 2024 4.05 peratus, tertinggi dalam 10 tahun

PTPTN umum Dividen SSPN 2024 4.05 peratus, tertinggi dalam 10 tahun

ZAMBRY Abdul Kadir ketika pengumuman dividen Simpan SSPN 2024 di KPT, Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengumumkan dividen Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) 2024 sebanyak 4.05 peratus, iaitu angka tertinggi dalam tempoh 10 tahun.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, pemberian dividen itu akan memberi manfaat kepada 6.77 juta akaun pendeposit melibatkan peruntukan sebanyak RM439.87 juta.

“Ini menjadikan keseluruhan agihan dividen berjumlah RM2.12 bilion sejak Simpan SSPN diperkenalkan pada 2004.

“Agihan dividen ini akan dimasukkan terus ke akaun Simpan SSPN dan pendeposit boleh membuat semakan penyata simpanan melalui aplikasi myPTPTN mulai 2 Mei,” katanya pada Majlis Pengumuman Dividen Simpan SSPN 2024 dan Pelancaran Kempen Ganjaran Kesetiaan Simpan SSPN Prime 2025 di Kementerian Pendidikan Tinggi di sini hari ini.

Sebelum ini, PTPTN mengumumkan agihan dividen SSPN 2023 sebanyak 3.6 peratus membabitkan anggaran peruntukan RM357.65 juta.

Jelasnya, peningkatan kadar dividen ini sekali gus menunjukkan kecekapan PTPTN dalam pengurusan dana simpanan dengan efektif berlandaskan tadbir urus yang cemerlang.

Ini berpaksikan amalan berintegriti dan strategik bagi memastikan pulangan yang optimum dapat diberikan kepada para pelanggan.

“Peningkatan ini disokong oleh strategi pelaburan patuh syariah berjangka pendek dan panjang di pasaran wang tempatan yang melindungi prinsipal, di samping memberikan pulangan yang tinggi dan positif.

“Strategi pengurusan risiko yang berkesan serta pemilihan portfolio pelaburan yang strategik dalam simpanan tetap jangka panjang dan sukuk telah berjaya meningkatkan pulangan pelaburan,” katanya.

Menurut Zambry, pemberian dividen Simpan SSPN pada kadar 4.05 peratus ini menunjukkan pulangan bersih pelaburan yang positif jika dibandingkan dengan Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate, OPR) yang ditetapkan oleh Bank Negara yang kekal pada kadar 3.0 peratus sepanjang tahun 2024.

Katanya, agihan dividen ini akan dimasukkan terus ke akaun Simpan SSPN dan pendeposit boleh membuat semakan penyata simpanan masing-masing melalui aplikasi myPTPTN mulai 2 Mei 2025 (Jumaat).

Dalam pada itu, beliau berkata, jumlah deposit Simpan SSPN pada tahun lalu meningkat sebanyak RM24.37 juta atau 0.77 peratus iaitu sebanyak RM3.17 bilion berbanding RM3.15 bilion (2023).

“Lebih 500,000 akaun baharu juga telah direkodkan pada tahun lalu. Jumlah keseluruhan deposit terkumpul yang diterima sehingga 31 Disember 2024 adalah sebanyak RM20.56 bilion, melibatkan 6.77 juta akaun.

“Ini merupakan pencapaian yang membanggakan dan bukti sokongan pendeposit Simpan SSPN yang terus kekal utuh,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN