PETALING JAYA: Dua lagi banduan bagi hukuman mati mandatori dan penjara sepanjang hayat dibebaskan petang ini di Penjara Kajang selepas Mahkamah Persekutuan menukarkan hukuman mati mandatori dan penjara sepanjang hayat kepada penjara 30 tahun, 12 sebatan.
Jumlah ini menjadikan lima daripada 12 banduan yang dipanggil Mahkamah Persekutuan bagi mendengar permohonan semakan semula hukuman mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat kembali ke pangkuan keluarga.
Satu sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, tiga banduan yang dibebaskan sebelum ini telah menjalani hukuman daripada Penjara Kajang manakala masing-masing satu Penjara Perlis dan Penjara Taiping.
Kata sumber itu, dua banduan daripada Penjara Kajang adalah sudah dijatuhi hukuman Pemenjaraan Sepanjang Hayat kerana membunuh.
“Manakala, seorang lagi banduan akhir bagi kesalahan mengedar dadah di bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Salah seorang banduan dibebaskan iaitu Mohd. Ya’cob Demyati yang dipenjarakan kerana terlibat dalam pembunuhan penyanyi terkenal era 90-an, Allahyarham Along Spoon,” katanya di sini.
Terdahulu, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Keluarga Kasih (KeKasih), Hayati Mohamed berkata, dua banduan akhir yang dijatuhi hukuman di bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952 di Penjara Perlis dan Penjara Taiping dibebaskan.
Urusan pembebasan kedua-dua banduan ini diuruskan oleh pihak KeKasih pukul 6.30 petang ini.-UTUSAN