PETALING JAYA: Malaysia kekal mempunyai hubungan dan kerjasama yang baik dengan Amerika Syarikat dan juga China.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jalinan hubungan dengan dua negara tersebut menjadikan Malaysia dan ASEAN sebagai negara serta Rantau paling stabil dan kondusif untuk pelaburan pelbagai bidang.
“Dinamika hubungan AS-China tidak boleh memaksa Malaysia untuk bersikap memihak,” katanya di dalam satu hantaran di Facebook.
Perdana Menteri mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Ke-30 Pemimpin-Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di San Francisco, AS yang bertemakan ‘The Global Economy and State of The World’ bermula kelmarin.
Pada perkembangan lain, Anwar berkata, sektor swasta perlu bekerjasama rapat dengan masyarakat sivil dalam memastikan ketelusan sektor tersebut sekaligus tidak mengulangi kes-kes penyelewengan mega yang melibatkan negara.
“Saya juga singgung terkait cabaran bersama didepani semua pihak iaitu gelombang kecerdasan buatan (AI), perubahan iklim, usaha membasmi kemiskinan.
Saya sekali lagi menggesa agar usaha diperhebat ke arah memantapkan demokrasi dan ketelusan agar defisit kepercayaan yang sedang dihadapi oleh pemimpin-pemimpin politik seluruh dunia dapat ditangani secara bersama,” katanya. – UTUSAN