DEWAN RAKYAT: Segera luluskan RUU sekat sebar agama lain pada orang Islam  - Utusan Malaysia

DEWAN RAKYAT: Segera luluskan RUU sekat sebar agama lain pada orang Islam 

ZULKIFLI Ismail
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pas menggesa kerajaan supaya menyegerakan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Kawalan dan Sekatan Pengembangan Doktrin atau Kepercayaan Agama Dalam Kalangan Orang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) yang pernah dicadang parti itu semasa menjadi kerajaan sebelum ini.

Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail berkata, undang-undang syariah peringkat Persekutuan diperlukan supaya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diberi kuasa menyiasat aduan berhubung dakwaan penyebaran agama bukan Islam kepada orang Islam.

“Adakah kerajaan akan segerakan bentang akta kawalan ini di Parlimen memandangkan kebenaran ini memang telah diberi di bawah Perlembagaan Persekutuan? Tanpa undang-undang bertulis, aduan tidak dapat disiasat dan dibenteras.

“Jika kuasa diberi Perlembagaan Persekutuan tidak diterjemah melalui penggubalan akta di peringkat Wilayah Persekutuan, peruntukan Perlembagaan tersebut akan menjadi sia-sia kerana tidak boleh dikuat kuasa,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau membahaskan usul Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 di peringkat jawatankuasa mengenai peruntukan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Pada 2021, bekas Timbalan Menteri Agama, Ahmad Marzuk Shaary mendedahkan kerajaan mahu memperkenal 11 RUU termasuk Akta Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam bagi memperkasa undang-undang syariah di Malaysia, khususnya di Wilayah Persekutuan.

Pas ketika itu menjadi sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan pimpinan Barisan Nasional (BN).

Cadangan itu mencetus kontroversi sehingga Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST) mendakwa penggubalan undang-undang itu menyebabkan kegelisahan besar dalam kalangan penganut bukan Islam yang dikatakan menyekat kebebasan beragama terhadap orang bukan Islam.

Parti Bersatu Sabah (PBS) turut menolak sekeras-kerasnya hasrat membentang RUU itu kerana didakwa menghalang kebebasan beragama di negara ini dan kandungan di dalam RUU tersebut belum diketahui setakat ini.

Bagaimanapun, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, orang bukan Islam tidak terikat dengan undang-undang tersebut sekiranya penyebaran agama hanya ditujukan kepada golongan menganuti agama selain daripada Islam.

“Mereka bebas menyebarkan agama mereka dalam kalangan mereka sahaja tetapi tidak untuk orang Islam,” katanya.

Katanya, RUU itu masih berpaksi Perkara 3(1) Perlembagaan yang meletakkan Islam selaku agama Persekutuan dan Perkara 11(4) untuk melarang penyebaran agama lain ke atas orang Islam.

Sebanyak 10 negeri di Semenanjung meluluskan enakmen sama sejak dekad 1980-an, manakala tiga negeri iaitu Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak serta Wilayah-wilayah Persekutuan meliputi Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan belum berbuat demikian.

Bagaimanapun, wilayah tersebut turut diberi kuasa sama seperti negeri untuk menggubal undang-undang berkaitan agama yang cuma terpakai di Wilayah Persekutuan.

Dalam pada itu, Zulkifli menyatakan peruntukan peringkat negeri yang dikuatkuasakan di 10 negeri, kecuali Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak, menyediakan sekatan terhadap orang bukan Islam menggunakan istilah eksklusif untuk orang Islam – termasuk Allah, baitullah, Kaabah dan lain-lain.

“Peruntukan undang-undang ini boleh membantu kerajaan mengekang penyalahgunaan kalimah Allah di peringkat Wilayah Persekutuan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN