KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen pembangkang mempersoalkan tindakan Kerajaan Perpaduan yang masih lagi ‘membeli’ wakil rakyat mereka dalam keadaan sokongan yang dilihat begitu kukuh terhadap kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perkara itu dibangkitkan dalam sidang Dewan Rakyat hari ini oleh Awang Hashim [PN-Pendang] dengan menegaskan bahawa perkara itu tidak sepatutnya berlaku selaras dengan perubahan reformasi yang dibawa oleh kerajaan yang memperjuangkan integriti.
“Patutnya kerajaan sudah ada kedudukan yang kukuh, katanya melebih 148 kerusi, sepatutnya tidak perlu (beli wakil rakyat). Mengapa masih berlaku perkara begini?
“Tidak yakinkah? Mungkin boleh jatuh bila-bila masa walaupun ada dua pertiga…sebab itu dia mula ‘shopping’. Ini pandangan peribadi saya.
“Kenapa dia ‘shopping’ sedangkan kata dah ada dua pertiga majoriti, 148 kerusi dalam Dewan Rakyat. Kalau begitu, tak perlu, mantapkan 148 sudahlah. Bawalah undang-undang yang memerlukan dua pertiga kalau dia anak jantan, kalau dia yakin, bawalah. Itu cabaran kita,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Awang dalam masa yang sama turut mengingatkan sokongan keempat-empat ahli Parlimen itu boleh hilang pada bila-bila masa sahaja jika mereka menarik sokongan berkenaan.
Malah, beliau turut berkata, rakyat memahami kesempitan yang dilalui wakil-wakil rakyat pembangkang kini susulan tiada peruntukan daripada kerajaan sehingga menyebabkan segala perancangan di kawasan mereka terencat.
“Kami sudah lama, tiada duit pun okay. Kami boleh turun, servis kepada rakyat, terangkan apa yang berlaku.
“Rakyat tiada masalah, rakyat faham,” katanya.-UTUSAN










