DAP parti 'muda' dari segi idea - Guan Eng - Utusan Malaysia

DAP parti ‘muda’ dari segi idea – Guan Eng

LIM Guan Eng ketika berucap sempena Konvensyen DAP Pulau Pinang 2023, di Georgetown, Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: DAP merupakan sebuah parti ‘muda’ dan akan kekal menjadi parti muda dari segi idea dan pemikirannya termasuk dalam kalangan ahli veteran parti itu.

Pengerusi DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng berkata, sehubungan itu, parti itu perlu terus ‘menjana semula’ dan memperbaharui pelan penggantian yang lebih baik untuk pemimpin masa depan mereka.

Pada masa sama, beliau turut menggesa pemimpin DAP terutama yang memiliki jawatan dalam kerajaan supaya tidak ‘membelakangkan’ parti itu dalam membuat sebarang keputusan.

“Pilihan raya-pilihan raya sebelum ini (Pilihan Raya Umum Ke-15 dan Pilihan Raya Negeri) telah menunjukkan rakyat lebih menyokong parti berbanding calon itu secara individu.

“Jadi, atas alasan ini, semua pemimpin dan ahli DAP perlu berdisiplin dan sentiasa mematuhi arahan parti.

“Sebagai wakil rakyat juga, kita harus mendengar segala keluhan rakyat dan memastikan penjawat awam melaksanakan segala dasar yang digariskan untuk manfaat semua pihak,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Tahunan DAP Pulau Pinang 2023 di sini, hari ini.

Sementara itu, Guan Eng turut berterima kasih kepada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke kerana kekal mempertahankan dasar parti itu untuk tidak membenarkan mana-mana pemimpin DAP menerima sebarang gelaran kecuali selepas bersara.

Dalam hal ini juga, kata Guan Eng, Anthony merupakan individu yang bertanggungjawab untuk meyakinkan pemimpin veteran parti itu iaitu bapanya, Lim Kit Siang untuk menerima gelaran Tan Sri.

“Di sebalik jadual kerjanya yang sibuk selaku Menteri Pengangkutan, beliau (Anthony) juga tidak lupa kepada Lao Da (Kit Siang) iaitu pemimpin yang menjadi inspirasi kepadanya untuk menyertai DAP.

“Jadi, kita perlu mencontohi pemimpin seperti ini yang sentiasa menghargai pemimpin veteran yang banyak menyumbang kepada parti sebelum ini,” ujar beliau. – UTUSAN

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.