PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menjalankan siasatan berhubung dakwaan gangguan seksual membabitkan ketua pengarah sebuah agensi keselamatan yang tular dalam media sosial hari ini.
Mengesahkan perkara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, satu kertas siasatan dibuka susulan laporan polis diterima pihaknya.
“Kita sedang menyiasat mengenai dakwaan dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana kesalahan gangguan seksual,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Hari ini tular berhubung laporan polis yang dibuat di Shah Alam, Selangor oleh seorang wanita berusia 39 tahun pada 14 November lalu dikatakan penasihat kewangan kepada lelaki bergelar Datuk dipercayai ketua pengarah sebuah agensi keselamatan dan mendakwa diganggu secara seksual.
Dalam laporan itu, mangsa mendakwa pernah bertemu dengan lelaki tersebut hanya sekali pada November tahun lalu.
Lelaki itu didakwa turut menghantar mesej dengan mengajak keluar ke pusat karaoke dan hotel, namun tidak diendahkan mangsa.
Bagaimanapun, laporan itu mendakwa mangsa mula menerima mesej dan 10 video serta gambar berbaur lucah sejak Ogos lalu.
Justeru, mangsa membuat laporan pada 14 November lalu kerana berasa dirinya diganggu secara seksual serta trauma selain menerima ancaman ugutan daripada lelaki berkenaan agar tidak melaporkan kepada sesiapa. – UTUSAN