Bukit Aman sahkan terima laporan penipuan pelaburan - Utusan Malaysia

Bukit Aman sahkan terima laporan penipuan pelaburan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman mengesahkan telah menerima laporan mengenai penipuan pelaburan melibatkan seorang ahli perniagaan yang menggunakan gelaran ‘Datuk Wira’.

Menurut Pengarahnya, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf pihaknya telah mengambil maklum mengenai perkara tersebut yang kini berada dalam siasatan pihak berkuasa.

Terdahulu, isu mengenai seorang ahli perniagaan didakwa telah memperdaya ratusan mangsa dengan mengaut hampir RM1 bilion menerusi tawaran pelaburan palsu kepada warga tempatan dan pelabur asing menjadi tular di pelbagai platform media massa.

Ia telah dibongkarkan oleh jurucakap sebuah sekretariat mangsa penipuan tersebut iaitu Shah Abdul Malek selain mendakwa sekumpulan mangsa terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk pegawai kerajaan, doktor dan orang awam.

Menurut Shah, lelaki terbabit telah memperdaya mangsa dengan janji manis ahli perniagaan yang mula menggunakan kedudukan dan pengaruhnya bagi tujuan penipuan itu sejak 16 tahun lepas.

“Tujuan sekretariat ini adalah bagi menghalang lebih ramai orang daripada terpedaya dengan penipuan itu dan mencari jalan bagi mendapatkan kembali wang mangsa,” katanya yang juga mangsa penipuan itu pada sidang media, di sini, semalam.

Shah berkata beliau bersama mangsa yang lain mula mengumpul maklumat tentang operasi perniagaan dan modus operandi ahli perniagaan itu yang didakwa telah mengaburi mata pihak berkuasa dan mangsa menerusi 18 syarikat tidak wujud.

Sementara itu, salah seorang mangsa dari Scotland, Lee Roger Meiklejohn, 51, berkata dia kerugian hampir RM60 juta akibat tertipu oleh janji-janji ahli perniagaan itu.

“Pada mulanya, saya diberikan 10 peratus pulangan yang telah dibayar tetapi saya mendapati pada tahun 2017 apabila dia menghantar penyata bank kepada saya bahawa dia telah mengeluarkan semua wang itu sendiri dan memasukkannya ke dalam poketnya sendiri,” katanya.

Meiklejohn berkata laporan polis telah dibuat dua kali dengan pertama kali pada 2019 di Balai Polis Travers dan terkini di Balai Polis Petaling Jaya, semalam.

Menurutnya, lelaki itu mendakwa seorang individu bergelar Tan Sri telah melabur jutaan ringgit ke dalam syarikat pelaburannya dan memaklumkan dalam proses mengambil alih sebuah syarikat telekomunikasi dalam tempoh terdekat pada 2017.

“Apa yang menyebabkan saya tertarik menyertai pelaburan itu adalah lelaki ini menggunakan nama-nama individu berpengaruh bagi meyakinkan saya.

“Selepas proses perjanjian selesai, saya diminta lelaki itu untuk memasukkan wang ke dalam syarikat pinjaman wang kewangan miliknya dengan alasan prosedur berkenaan sudah ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM),” katanya.

Lee Roger berkata, dia hanya menyedari ditipu selepas lelaki terbabit mendakwa sudah menukar pelaburan itu kepada pemilikan saham syarikat berkenaan pada 2017.

“Selepas beberapa tahun, saya mendapati saya tidak memiliki saham seperti yang didakwa oleh individu terbabit menyebabkan saya membuat laporan polis berhubung penipuan itu pada 2019,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN