Bukan sekadar kisah gadis pekak, jiwa MagiK lebih besar - Utusan Malaysia

Bukan sekadar kisah gadis pekak, jiwa MagiK lebih besar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tidak hanya mengangkat kisah gadis pekak yang mampu berkomunikasi dengan kelip-kelip sebagai jalan cerita, MagiK sebenarnya menjadi medium untuk membuka ruang umum mendekati mereka yang berdepan masalah tersebut.

Penerbitnya, Yasu Tanaka berkata, tayangan khas filem tersebut akan diadakan selama dua bulan sebelum ditayangkan secara rasmi di pawagam bermula 30 November depan.

“Idea menghasilkan magiK bermula apabila kami menggabungkan minat saya dan isteri, Bea Tanaka dalam satu jalan cerita. Bea dengan komuniti pekak dan minat saya terhadap alam alam semula jadi.

“Begitulah cara dua idea ini digunakan untuk mencipta cerita seorang gadis pekak yang boleh berkomunikasi dengan kelip-kelip. Kami mahu masyarakat mendekati mereka yang mempunyai masalah pendengaran.

“Sehubungan itu, tayangan khas filem magiK diadakan di beberapa lokasi terpilih di seluruh Malaysia selama dua bulan pada September dan Oktober lalu sebelum ditayangkan di pawagam pada 30 November nanti,” ujarnya.

MagiK yang diterbitkan oleh 42nd Pictures Sdn Bhd itu menampilkan barisan pelakon hebat seperti Beto Kusyairy, Nadia Aqilah, Nam Ron, Ruminah Sidek, Roy Azman, Kamarul Eqifshah dan bintang cilik, Qisya Hairulzain.

Dalam pada itu, Tanaka berkata, tujuan tayangan khas itu ialah untuk berkongsi MagiK dengan penonton dan juga para pelakon serta kru yang terlibat.

“Versi yang ditayangkan untuk tayangan khas ini ialah versi ‘closed caption’ yang memudahkan penonton dari komuniti bermasalah pendengaran.”

“MagiK memaparkan masyarakat Kampung Kuantan, Kuala Selangor, Selangor dan kami mahu mendekati golongan sasaran seperti masyarakat luar bandar menerusi konsep tayangan khas ini,” kongsinya.

Untuk info, tayangan khas diadakan di Warung Adri, Kuantan pada 16 September lalu disusuli Pantai Telaga Papan (23 September) dan SPace08000, Sungai Petani (29 September).

Tayangan itu akan diteruskan di lokasi tayangan khas filem di YMCA, Kuala Lumpur (1 Oktober); YMCA, Georgetown, Pulau Pinang (7 Oktober); PORT, Ipoh, Perak (14 dan 15 Oktober) yang turut menjemput penonton dari komuniti bermasalah pendengaran.

Tayangan khas magiK di YMCA KL adalah sebahagian dari sambutan ‘International Deaf Day’

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN