PETALING JAYA: “Sebenarnya ada kanser yang dah parah dalam badan saya, tetapi bukan kanser penyakit cuma kanser mahu mengarah dan lebih aktif di belakang tabir. Alhamdulillah, saya sihat sahaja.”
Demikian jawapan pelakon dan pengarah, Zizan Nin apabila ditanya tentang dakwaan dia kini sedang menderita kanser sehingga terpaksa membotakkan kepalanya seperti yang tular baru-baru ini.
Jelas Zizan, dia sebenarnya menghidapi masalah kolesterol tinggi dan terpaksa menjaga pemakanan sehingga tampak lebih kurus berbanding sebelum ini.
“Gambar saya membotakkan kepala tersebut diambil ketika penggambaran filem Roxy dua tahun lepas. Saya sebenarnya kena pakai rambut palsu, jadi rimas gatal kepala. Itu yang saya botak terus.
“Alhamdulillah, bukan sakit kanser. Cuma kolesterol saya sangat tinggi. Kena jaga pemakanan tetapi bila terlebih jaga, itu yang kurus. Sekarang tahap kolesterol saya masih perlu pemantauan lah.
“Saya ada mengambil ubat kolesterol sekitar 2014 tetapi selepas dua tahun, saya berhenti ambil ubat dan jaga pemakanan dengan lebih ketat sehingga sekarang. Susah nak turun kdara kolesterol, sebab genetik mungkin,”katanya.
Pemenang trofi Pelakon Harapan Lelaki Festival Filem Malaysia ke-20 itu ditemui ketika tayangan perdana filem pertama arahannya, Sazali Meor Coco di sini semalam.
Dalam pada itu, Zizan berkata, dia terkejut ketika dakwaan menghidap kanser itu tular sehingga menerima pelbagai pertanyaan daripada rakan-rakan dan keluarga.
“Tak adalah sedih pun bila cerita tidak benar tersebar. Cuma saya rasa mereka ambil berat. Kita tak tahu kan keadaan, sebagai contoh Allahyarham Adibah Noor. Dia sembunyikan sakit sehingga hujung hayatnya.
“Cuma setakat ini, di usia 50 tahun ini, saya sihat. Buat pemeriksaan kesihatan setiap tahun. Tapi itulah, kolesterol memang kena kawal,”katanya.
Bercakap mengenai filem pertamanya, Sazali Meor Coco, Zizan berkata, dia terpaksa merombak skrip asal beberapa kali untuk memasukkan beberapa isu-isu masyarakat yang mampu membuka mata penonton.
“Cabaran utamanya adalah masa. Kami menjalani penggambaran selama 25 hari dan latihan seminggu. Sebenarnya masa kami jalani penggambaran kita sedang dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)
“Saya terima semua komen, tapi tak perlu layan kalau terlalu provokatif. Kalau dia rasa dia bagus, silalah buat filem. Itu pada saya bukan isulah, saya terbuka sahaja dengan komen positif,” ujarnya.-UTUSAN