SHAH ALAM: Datuk Seri Anwar Ibrahim kesal dengan suara sumbang yang mempertikai usahanya membela nasib penduduk Palestin sehingga mendakwa mengabaikan rakyat Malaysia sendiri.
Kata Perdana Menteri, malah terdapat pihak menuduh usaha beliau itu dengan mengatakan boleh mendatangkan risiko kepada negara.
“Di sini juga ada suara-suara sumbang terhadap apa yang dilakukan Anwar, ini risiko kepada negara. Padahal di sini (mereka kata) ada golongan minoriti yang tidak dibela.
“Saya kesal pandangan sedemikian. Rakyat minoriti mana yang dibom, di mana anak kecil dibunuh beramai-ramai, mana tanah dirampas, rumah dirobohkan?
“Apakah tidak boleh nilai kemanusiaan? Ketepikan fahaman kaum dan agama, lihat daripada segi kemanusiaan,” katanya dalam Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri dan Anugerah Tokoh Mahir 2023 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini hari ini.
Kata Anwar, justeru, isu Palestin tidak terhad kepada agama Islam malah merangkumi soal kemanusian kerana banyak gereja juga dibomkan oleh rejim Zionis Israel.
“Anak-anak yang menjadi korban juga orang Kristian,” katanya.
Anwar berkata, beliau tidak kisah menerima penghargaan dan ucapan terima kasih di atas usaha dilakukan selama ini, namun jangan sampai ke tahap mengutuk terhadap langkah membela rakyat Palestin.
Beliau kemudian menjelaskan kenyataan tegas Malaysia mengutuk serangan rejim zionis Israel ke atas di Palestin tidak menjejaskan ekonomi dan pelaburan syarikat asing termasuk dari Amerika Syarikat (AS). – UTUSAN










