KOTA KINABALU: Tidak berlaku sebarang pembelian panik di Sabah pada hari pertama harga ayam diapungkan susulan penamatan subsidi ayam bermula semalam
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah, Georgie Abas berkata, berdasarkan pemeriksaan dan pemantauan yang dilakukan di beberapa premis mendapati ayam dijual pada harga berpatutan.
Beliau berkata, pemeriksaan yang dilakukan juga mendapati bekalan ayam di pasaran mencukupi.
“Kita dapati peniaga turut mematuhi perundangan di bawah seliaan KPDN.
“Pegawai-pegawai penguat kuasa KPDN Sabah akan sentiasa berada di lokasi-lokasi tumpuan orang ramai membeli-belah seperti pasar awam, pasar tani dan pasar raya untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan.
“Langkah itu bagi memastikan keberadaan bekalan di pasaran mencukupi, mudah didapati dan dijual pada harga yang berpatutan,” katanya dalam satu kenyataan.
Georgie berkata, KPDN akan melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan melalui Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP 2011) bagi memastikan peniaga tidak mengambil keuntungan tinggi yang tidak munasabah dan memanipulasi harga ayam di peringkat peruncit.
Beliau berkata, hari ini KPDN menjalankan pemeriksaan di Pasar Besar Kota Kinabalu dan pasar raya berdekatan sempena hari pertama apungan harga ayam dan selaras dengan pengumuman daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berhubungan penamatan sepenuhnya subsidi dan kawalan harga bagi ayam bermula hari ini.
Pada masa sama, penguatkuasaan secara berhemah juga dilaksanakan dengan memberi pendidikan, nasihat dan amaran kepada peniaga supaya mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa dan mengamalkan perniagaan yang beretika.
Menurut beliau lagi, sejak Januari hingga 31 Oktober, sebanyak 1,162 kes telah dihasilkan melibatkan kesalahan di bawah AKHAP 2011, Akta Timbang dan Sukat 1972 dan Akta Kawalan Bekalan 1961 dengan nilai kompaun sebanyak RM189,450.
Ia turut membabitkan nilai rampasan sebanyak RM 5.6 juta dan denda sebanyak RM123,000. Secara keseluruhan, sebanyak 68,400 premis telah diperiksa di seluruh Sabah sepanjang tempoh tersebut.-UTUSAN










