Banjir: Sahabat AIM sukar bayar pinjaman

Banjir: Sahabat AIM sukar bayar pinjaman

MARIBEE Hamzah (tengah) bersama Sahabat AIM yang lain ketika berada di PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak di Teluk Intan akibat banjir baru-baru ini. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Banjir yang berlaku di daerah ini sebelum ini menyebabkan peminjam dana Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) berdepan masalah untuk membayar balik pinjaman perniagaan mereka.

Peserta atau Sahabat AIM yang ditemui berkata, ini kerana ramai ahli yang tidak dapat berniaga disebabkan terpaksa berpindah ke pusat penempatan sementara (PPS) selepas kediaman dinaiki air.

Mereka berkata, banjir yang lama dan berulang menyebabkan mereka tinggal dalam tempoh yang panjang di PPS dan sepanjang tempoh itu, mereka tidak dapat berniaga.

Sahabat AIM, Maribee Hamzah, 60, berkata, dia membuat pinjaman AIM untuk menjalankan perniagaan tambah nilai telefon bimbit di gerai menjual air minuman yang diusahakannya di sebelah rumahnya.

Katanya, banjir selama beberapa minggu yang melanda kawasan rumahnya di Kampung Batu 7 di sini menyebabkan dia tidak dapat menjalankan perniagaan.

Katanya, ini menyebabkan dia mengalami kesukaran untuk membayar semula pinjaman AIM.

“Saya membuat bayaran pinjaman AIM sebanyak RM253 seminggu namun kerana tidak dapat menjalankan perniagaan disebabkan banjir, saya tiada pendapatan dan sekarang sukar untuk membayar balik pinjaman.

“Memang ada bantuan wang yang diberikan oleh kerajaan negeri kepada mangsa banjir iaitu sebanyak RM300, tetapi banyak banyak wang perlu digunakan selepas banjir.

“Jadi saya harap pihak yang berkenaan dapat melihat keadaan kami yang sukar untuk membayar pinjaman disebabkan banjir,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Seorang lagi Sahabat AIM yang tidak mahu dikenali berkata, dia mengusahakan kedai kopi di Batu 8 di sini juga terpaksa tinggal lama di PPS bersama anak-anaknya yang masih kecil disebabkan kawasan rumahnya dilanda banjir.

Katanya, dia membayar balik pinjaman AIM RM114 seminggu.

“Sejak banjir, saya tidak dapat membuka kedai saya. Kerana tiada pendapatan, macam mana saya mahu bayar balik pinjaman.

“Saya terpaksa meminjam duit kawan-kawan dan adik beradik untuk membayar pinjaman AIM. Saya berharap pihak berkenaan membantu kami Sahabat AIM yang terjejas perniagaan akibat banjir,” katanya.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya