Banjir: JPS peruntuk RM17.4 juta selenggara sistem saliran

Banjir: JPS peruntuk RM17.4 juta selenggara sistem saliran

KERJA-KERJA membersih dan mendalamkan parit dilakukan sebagai persediaan menghadapi banjir di Kampung Sungai Serai, Marang semalam. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu memperuntukkan sebanyak RM17.4 juta untuk melaksanakan program penyelenggaraan infrastruktur sistem saliran secara berkala sebagai usaha mencegah banjir tahun ini.

Pengarah JPS Terengganu, Hanizan Deraman berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM6.7 juta diperuntukkan bagi kerja-kerja di kawasan sungai dan RM7 juta untuk kecemasan serta RM3.7 juta (kolam takungan).

Beliau berkata, antara penyelesaian isu banjir adalah projek tebatan yang melibatkan skop pembinaan kolam takungan banjir, pembinaan rumah pam, pembinaan ban, pembinaan atau menaik taraf sungai dan sistem saliran utama.

Menurutnya, ketiadaan sistem saliran yang sistematik yang menghubungkan ke sistem saliran utama tersebut akan menyebabkan berlakunya banjir setempat (localise flooding).

Katanya, disebabkan itu, pembinaan infrastruktur saliran tersebut perlulah dilaksanakan bagi melengkapkan projek tebatan banjir yang mana melibatkan pelbagai agensi untuk beberapa kategori.

“Bagi saliran perumahan dan kampung, ia adalah di bawah pengurusan pihak berkuasa tempatan (PBT), saliran kampung yang berada di luar kawasan PBT pula ialah di bawah pengurusan pejabat daerah manakala saliran utama dan sungai pula di bawah bidang kuasa JPS.

“Bagi memastikan perancangan pembangunan sistem saliran yang sempurna, JPS Terengganu juga telah memohon peruntukan Kerajaan Persekutuan di dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) untuk penyediaan Kajian Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA).

“Kajian ini akan memperhalusi isu-isu berkaitan sistem saliran dari aspek kawalan kuantiti, kawalan kualiti dan seterusnya menyediakan inventori aset saliran bagi tujuan perancangan yang lebih berkesan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Terdapat 258 kawasan berisiko banjir di seluruh Terengganu dengan Setiu merekodkan lokasi tertinggi iaitu 52 diikuti Dungun (38), Kemaman (36), Besut (32), Hulu Terengganu (32), Kuala Terengganu (29), Marang (20) dan Kuala Nerus (19).

Selain itu beliau berkata, JPS Terengganu telah menerima lebih 80 aduan orang ramai sejak 2020 berkaitan isu sistem saliran.

Menurutnya, aduan yang diterima adalah melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA), Biro Pengaduan Awam (BPA), secara panggilan telefon, bersurat serta menerusi media sosial dan kesemuanya diuruskan dan diambil tindakan sewajarnya mengikut bidang tugas jabatan.

Katanya, dalam usaha melengkapkan sistem saliran khususnya di kawasan kampung yang masih tidak mempunyai saliran utama, kerajaan negeri melalui JPS Negeri Terengganu telah memohon beberapa cadangan projek saliran utama di dalam RMK12.

“Antaranya pembinaan saliran mesra alam Kampung Pulau Serai, Dungun; Kampung Tok Mir, Tanjung Jaafar di Kuala Nerus dan di Kampung Kubang Parit, Kuala Terengganu,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN