KUALA TERENGGANU: Situasi banjir di Pantai Timur terutama Terengganu dan Kelantan bertambah baik.
Di Terengganu, mangsa banjir terus berkurangan kepada 711 orang daripada 186 keluarga di 13 pusat pemindahan sementara (PPS) seluruh Terengganu setakat pukul 4 petang ini.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu berkata, ketika ini terdapat enam PPS beroperasi di Kuala Nerus, tiga di Kuala Terengganu, tiga di Marang dan satu di Besut.
Menurutnya, jumlah mangsa tertinggi ketika ini ialah di daerah Kuala Terengganu iaitu 405 orang daripada 110 keluarga diikuti Kuala Nerus (117 orang daripada 27 keluarga).
“Di Marang pula, terdapat 145 mangsa daripada 39 keluarga manakala di Besut, hanya satu PPS beroperasi menempatkan 44 mangsa daripada 10 keluarga.
“Kita memantau perkembangan cuaca dan mangsa banjir hanya dibenarkan pulang selepas kawasan rumah mereka benar-benar selamat,” ujarnya.
Sementara itu, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) menyediakan pelan kontingensi bagi memastikan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak terjejas akibat banjir.
Timbalan Pengarahnya, Azman Othman @ Abdullah berkata, pelan kontigensi itu melibatkan kerjasama beberapa agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu dan Penjara Malaysia.
Menurutnya, pihaknya melalui Sektor Pentaksiran dan Peperiksaan juga telah mengadakan Taklimat Keselamatan Peperiksaan Awam di sini pada 26 Oktober yang lalu.
“Semua agensi itu telah menyatakan peranan masing-masing dalam membantu JPNT jika berlaku sebarang bencana termasuk calon-calon SPM yang berisiko terjejas banjir.
“Pejabat Pendidikan Daerah juga mempunyai pelan kontingensi banjir bagi persediaan calon-calon dan pusat-pusat peperiksaan yang dilanda banjir dan menyediakan bilik atau dewan peperiksaan alternatif di kawasan berisiko,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Di Kelantan pula, hanya dua pusat pemindahan sementara (PPS) yang masih diaktifkan selepas keadaan banjir semakin baik.
Menurut aplikasi InfoBencanaJKM, setakat pukul 3 petang semalam menunjukkan 57 mangsa masih berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Wakaf Raja (Pasir Puteh) seramai 30 orang manakala SK Tok Deh (Rantau Panjang) 27 orang.
Sementara itu, laman sesawang publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan Sungai Golok di Rantau Panjang masih di paras bahaya. – UTUSAN










