Banda Hilir sesak, jadi tumpuan cuti Deepavali

Banda Hilir sesak, jadi tumpuan cuti Deepavali

SUASANA meriah melihat kebanjiran pelancong di Bangunan Stadthuys, Banda Hilir Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Cuti panjang sempena Deepavali menjadikan Melaka khususnya Bandar Hilir di sini dikunjungi ramai pelancong domestik dan luar negara, sejak Jumaat lalu.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, trafik sesak di Banda Hilir bermula dari Persimpangan Padang Nyiru hingga ke Dataran Pahlawan.

Semua destinasi pelancongan terutama Bangunan Stadthuys, Muzium Samudera, Bot Melaka River Cruise (MRC), Muzium Kesultanan Melaka, Menara Taming Sari dan tempat menjamu selera di Plaza Mahkota dipenuhi orang ramai.

Seorang pelancong dari Johor Bahru, Johor, Norhana Jamil, 30, berkata, Melaka menjadi pilihan percutiannya kerana kawasan tumpuan orang ramai adalah berpusat, justeru tidak perlu berjalan jauh.

“Ini kali kedua saya datang ke negeri ini dan memang sangat unik dapat bercuti serta berkunjung ke sini bersama adik-beradik seramai tujuh orang, bercuti tiga hari dua malam di sini,” katanya ketika ditemui.

Katanya, paling mencuri perhatiannya apabila dapat menaiki Bot MRC sambil menyusuri Sungai Melaka dari Taman Rempah hingga ke muara di Banda Hilir.

Dalam pada itu, seorang guru dari Kuantan, Pahang, Farhan Borhan, 37, berkata, Melaka menjadi pilihan isteri dan dua anaknya sempena cuti Deepavali kerana tertarik dengan kesan peninggalan sejarah yang wujud di sekitar Banda Hilir.

Menurutnya, walaupun kali kedua berkunjung ke negeri ini, ia tidak membosankan malah berasa seronok dapat melawat pelbagai tempat menarik di sini.

“Cuti tiga hari dua malam saya gunakan melawat tempat-tempat bersejarah peninggalan zaman Portugis dan Belanda. Selain itu saya dapat menyusuri Sungai Melaka menaiki Bot MRC.

“Paling mengujakan kerana di sekitar Banda Hilir terdapat banyak restoran menyediakan masakan asam pedas tanpa perlu berjalan jauh,” katanya.

Sementara itu, seorang pelancong dari Jawa Tengah, Indonesia, Ika Ratna, 40, berkata, dia benar-benar teruja dapat melancong ke Malaysia khususnya di Melaka.

“Banyak yang saya baca mengenai Melaka melalui media sosial, TikTok dan Facebook. Saya datang bersama empat kawan, sejak dari pagi tertarik dengan tempat-tempat sejarah menarik di sekitar Banda Hilir,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN