APBN 2023: Zhiddin kecewa kemenangan digugurkan saat akhir

APBN 2023: Zhiddin kecewa kemenangan digugurkan saat akhir

ZHIDDIN Aziz kecewa apabila kemenangannya pada Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) 2023 digugurkan pada saat akhir.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengaruh media sosial yang dikenali sebagai Zhiddin Aziz meluahkan rasa kecewa apabila mendakwa kemenangan yang patut menjadi miliknya pada Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) 2023 digugurkan pada saat akhir.

Menerusi hantaran video di TikTok, Zhiddin mendakwa telah menerima panggilan telefon daripada pihak penganjur berkenaan pembatalan kategori Ikon Belia.

Menurut Zhiddin yang juga anak kepada pengacara popular era 90an iaitu Allahyarham Aziz Desa, dia turut berasa kesal kerana tidak menerima sebarang penjelasan daripada pihak penganjur.

“Saya rasa maruah diri sangat terhina kerana saya ada terima undangan daripada pihak Kementerian Belia dan Sukan untuk APBN 2023 yang dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

“Tapi kurang 24 jam saya dapat panggilan yang mereka membatalkan anugerah kategori tersebut dan tiada sebarang penjelasan,” katanya.

Tambah Zhiddin, dia telah melalui bermacam-macam peringkat dan saringan dari awal sehingga akhir untuk memperoleh kemenangan tersebut namun kemenangan itu dinafikan.

“Saya telah melalui bermacam peringkat dan saringan hingga ke akhir dan tempahan busana juga mencecah ribuan ringgit.

“Saya minta ibu mendoakan untuk kemenangan ini dan alhamdulillah doa ibu makbul kerana difahamkan sayalah pemenangnya tetapi kemenangan saya dinafikan,” jelasnya.

Perkongsian video di akaun TikTok milik Zhiddin itu telah menerima 2 juta tontonan, 4,383 komen dan lebih 180,000 tanda suka.

Sementara itu, pihak penganjur Sekretariat APBN menerusi Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) tampil memberikan penjelasan berhubung penularan isu tersebut.

Menerusi kenyataan rasmi yang dikeluarkan, Jawatankuasa Pengesahan Pemenang APBN sebulat suara memutuskan tiada pemenang bagi dua kategori yang dipertandingkan iaitu Ikon Belia Influencer (Media Sosial) dan Ikon Belia Sanjungan Budi.

“Pengumuman semua pemenang anugerah juga hanya diumumkan ketika majlis berlangsung dan tiada pengumuman rasmi dibuat kepada mana-mana pemenang sebelum itu,” jelas kenyataan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN