PETALING JAYA: Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) tidak pernah mewujudkan apa-apa dasar yang menyatakan hanya pelajar daripada golongan miskin sahaja boleh memasukinya sejak institusi itu ditubuhkan.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, dasar agensi itu adalah menetapkan kuota 60 peratus pelajar MRSM dalam kalangan B40 dan selebihnya mereka yang layak dalam kalangan M40 serta T20.
Kata beliau, sejak awal penubuhan MRSM lagi, peluang untuk anak-anak golongan VIP yang layak masuk ke institusi tersebut tidak pernah ditutup.
“Bahkan anak Perdana Menteri pun pernah belajar di MRSM Pengkalan Chepa dan menjadi Presiden Persatuan Bekas Pelajar Maktab Rendah Sains Mara (Ansara).
“MRSM tidak pernah lari daripada tujuan penubuhannya iaitu melahirkan generasi pelajar yang holistik dalam kalangan bumiputera yang cemerlang dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), pada masa sama punya kepribadian yang seimbang berteraskan nilai, adab dan akhlak Islam,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berpendapat, kepelbagaian latar belakang pelajar dalam MRSM mampu memupuk nilai-nilai positif dalam pergaulan untuk saling hormat-menghormati, bantu-membantu dan mengikis rasa rendah diri mahupun sombong dalam kalangan pelajar.
Jelasnya, ia merupakan persiapan untuk pelajar hidup dalam dunia realiti yang hakikatnya terdiri daripada masyarakat pelbagai status ekonomi.
“Lazimnya ibu bapa dalam kalangan M40 dan T20 yang banyak membantu Persatuan Muafakat (PIBG) dalam pelbagai aktiviti dan pendanaan tambahan yang diperlukan untuk program pembangunan pelajar.
“Cuba bayangkan jika semuanya daripada B40, siapakah yang boleh membantu persatuan tersebut dan pelbagai aktiviti tambahan di MRSM?” soalnya.
Tambahnya, M40 menurut tafsiran kerajaan adalah mereka yang berpendapatan isi rumah antara RM5,000 hingga RM10,000.
“Tidak semestinya mereka yang berpendapatan RM5,000 dengan anak lebih daripada tiga orang yang menetap di bandar besar itu semuanya senang. Justeru, tidak adil secara mutlak menafikan mereka,” katanya. -UTUSAN










