PETALING JAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga Presiden Parti Progresif Penduduk (MyPPP), Datuk Seri Maglin Dennis D’Cruz.
Ahmad Zahid menyifatkan, mendiang sebagai seorang pemimpin yang berjiwa besar serta komited dalam memperjuangkan isu-isu kemasyarakatan.
“Pemergian mendiang merupakan satu kehilangan kepada masyarakat dan negara.
“Jasanya pasti akan dikenang sampai bila-bila,” katanya.
Maglin Dennis dilapor meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, tengah malam tadi.
Mendiang menjadi Presiden MyPPP selepas menang tanpa bertanding pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Ke-67, Mac lalu.
Beliau sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan pada 2010.-UTUSAN










