PETALING JAYA: Sebanyak 88 saman pelbagai kesalahan trafik dikeluarkan menerusi Op Khas Motosikal di kilometer 21 Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak (arah Timur), Gombak di sini hari ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd. Azman Ahmad Sapri berkata, sebanyak 165 individu melibatkan 145 motosikal dalam operasi kira-kira pukul 7 pagi yang dijalankan bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Katanya, penguatkuasaan tersebut adalah bertujuan mengesan dan mengambil tindakan terhadap penunggang motosikal yang melakukan kesalahan seperti tiada lesen memandu, tiada cermin sisi serta aksesori tidak sempurna.
‘Sebanyak 88 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, selain menahan seorang lelaki disyaki positif dadah.
“Selain itu kita turut mengesan kesalahan lesen memandu serta Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tidak pamer pelekat ‘P’ atau ‘L’, ubah suai ekzos, nombor pendaftaran fancy, tiada nombor pendaftaran dan lain – lain kesalahan lalu lintas,” katanya ketika dihubungi di sini harinini.
“Semua pengguna jalan raya, termasuk penunggang motosikal dinasihatkan supaya mematuhi peraturan jalan raya untuk memastikan keselamatan diri sendiri dan orang lain,” katanya.- UTUSAN