80 mangsa pelaburan hartanah gesa polis maklum perkembangan kes

80 mangsa pelaburan hartanah gesa polis maklum perkembangan kes

HISHAMUDDIN Hashim mewakili 80 mangsa skim pelaburan hartanah bagi menggesa polis memberikan perkembangan siasatan kes itu di Menara KPJ, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 80 mangsa skim pelaburan hartanah dengan kerugian RM11 juta menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan perkembangan siasatan berhubung penipuan tersebut yang dilaporkan beberapa bulan lalu.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, kebanyakan mangsa sehingga kini belum mendapat perkembangan status kes berkaitan penipuan pelaburan tersebut yang memperdaya ribuan individu. 

Katanya, mangsa-mangsa cuba berurusan dengan pegawai penyiasat namun tiada respon positif sehingga memaksa mereka tampil kepada MHO bagi mendapatkan maklum balas daripada peringkat atasan PDRM. 

“Seramai 80 mangsa akan menghantar permohonan bagi mendapatkan perkembangan semasa di bawah Seksyen 107A Kanun Tatacara Jenayah berkaitan kes pelaburan hartanah. 

“Skim ini menawarkan mangsa pembelian hartanah melalui lot dengan modal serendah RM3,600 dan menjanjikan pulangan dividen RM540 satu lot dalam masa 45 hari.

“Malah, syarikat pelaburan itu turut mendakwa memiliki beberapa hartanah di Pulau Langkawi, Kedah, Cameron Highlands dan Bukit Tinggi, Pahang dan Arau, Perlis namun tidak dapat dibuktikan kesahihannya,” katanya ketika ditemui di Menara KPJ, Jalan Tun Razak di sini hari ini. 

Justeru, menurut Hishamuddin, pihaknya memohon perkembangan sama ada skim pelaburan yang ditawarkan sahih atau sebaliknya selain mendapati syarikat tersebut tidak didaftar di bawah Suruhanjaya Sekuriti (SC).

Beliau turut menggesa polis melakukan siasatan ke arah mana aliran wang yang dilaburkan mangsa. 

“Kita juga mahu polis siasat sama ada dividen dijanjikan berdasarkan keuntungan pelaburan atau hasil modal (rolling) pelabur.

“Kita mahu polis siasat, beri perkembangan status siasatan selain melengkapkan kertas siasatan untuk dihantar Timbalan Pendakwa Raya,” ujarnya. 

Sementara itu, mangsa, iaitu seorang pesara kerajaan ingin dikenali sebagao Sofiah, 70, berkata, dia dan rakannya terpedaya dengan pelaburan itu apabila ditawarkan pembelian satu lot dengan dividen sejumlah RM540 setiap 45 hari pada 2020.

Katanya, dia kemudian membuat banyak lagi pelaburan selama dua tahun dianggarkan berjumlah RM87,000 dan tidak pernah gagal menerima bayaran dividen malah mempelawa rakan-rakan menyertai skim tersebut.  

“Bagaimanapun, pada 2021, saya serta beberapa pelabur tidak menerima bayaran malah wakil syarikat memberikan pelbagai alasan antaranya ingin menaik taraf sistem, membayar Lembaga Hasil Dalam Negeri dan lain-lain. 

“Jadi hari ini kita mahu pihak wakil syarikat menbayar semula modal kita,’ ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN