68 premis dikesan jual ayam mahal hingga RM11 sekilogram

68 premis dikesan jual ayam mahal hingga RM11 sekilogram

ARMIZAN Mohd. Ali ketika mengadakan pemeriksaan dan pemantauan harga barang di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebanyak 68 buah premis dikesan menjual ayam pada harga tinggi sehingga RM11 sekilogram dalam pemeriksaan dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di negeri-negeri Semenanjung setakat ini.

Pemangku menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, ia berdasarkan pemeriksaan yang dilaksanakan ke atas 1,484 premis bagi memantau harga penjualan ayam mengikut harga siling ditetapkan RM9.40 sekilogram.

Beliau berkata, pasukan penguat kuasa mengesan harga ayam tertinggi itu dijual di sebuah pasar basah di Rompin, Pahang dan pasar basah di Manir, Terengganu; manakala harga terendah pula di sebuah pasar raya di Mersing, Johor iaitu RM6.49.

“Selain meneruskan pemantauan, kita memutuskan untuk melihat secara mikro di kawasan yang menjual ayam melebihi harga RM9.40, dari segi lokalitinya dan jenis premis sama ada kedai runcit, pasar raya atau pasar mini.

“Kita ingin pastikan penguat kuasa KPDN turun ke premis-premis untuk melihat apa isu sebenar mereka (sama ada) isu bekalan atau kos operasi sehingga menyebabkan mereka tidak boleh menjual di bawah harga RM9.40 per kilogram,” katanya menerusi sidang akhbar selepas meninjau harga ayam di sebuah pasar raya di sini hari ini.

Kerajaan sebelum ini memutuskan penyasaran semula subsidi secara berfasa dengan menamatkan sepenuhnya subsidi harga ayam bermula hari ini, namun subsidi serta kawalan harga bagi telur ayam gred A, B dan C akan diteruskan menggunakan mekanisme sedia ada.

Armizan memaklumkan, ekoran penamatan subsidi itu, tindakan boleh diambil di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) dan Akta Persaingan 2010 sekiranya didapati harga ayam dijual pada harga tidak munasabah.

Dalam pada itu, Armizan juga tidak menolak kemungkinan bahawa harga makanan boleh meningkat sekiranya ayam mentah dijual pada harga tinggi.

“Itu salah satu risiko yang mungkin boleh timbul iaitu kesan kepada industri lain. Itu sebab untuk kekang perkara itu daripada berlaku dengan melakukan penguatkuasaan secara bersungguh-sungguh.

“Misalnya kalau premis di sekitar Putrajaya jual ayam lebih rendah daripada harga RM9.40, mengapa perlu harga makanan dinaikkan? Kalau harga makanan tinggi, sila buat aduan di platform disediakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya