PETALING JAYA: Sebanyak 60 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berikrar untuk terus bersama dengan parti dan Perikatan Nasional (PN).
Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kesemua daripada mereka akan terus bersama dengan Bersatu.
“Seramai 60 ADUN termasuk 12 dari Selangor berikrar akan terus istiqamah dalam perjuangan dan akan terus membawa panji Bersatu dan PN untuk masa depan negara yang lebih gagah dan cemerlang.
“Kami akan berdiri teguh bersama Presiden (Tan Sri Muhyiddin Yassin) untuk membawa parti ini ke puncak kejayaan yang lebih tinggi dan mempertahan idealisme perjuangan parti,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Mohamed Azmin berkata, petang semalam semua ADUN Bersatu hadir mendengar taklimat daripada Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri.
“Presiden menyampaikan ucapan yang terkait dengan isu-isu dan cabaran semasa, dasar dan kebijakan parti serta menegaskan prinsip dan nilai dalam menggalas tanggungjawab sebagai wakil rakyat,” katanya.
ADUN Hulu Kelang itu berkata, Bersatu turut membentuk sebuah sekretariat ADUN peringkat kebangsaan.
“(Ini) untuk mewujudkan kerjasama di antara negeri-negeri dalam usaha memperkukuh perjuangan demi mengangkat martabat umat dan negara,” katanya. – UTUSAN