3R: Kertas siasatan hina Jata Negara, hina isteri PM dihantar ke AGC - Utusan Malaysia

3R: Kertas siasatan hina Jata Negara, hina isteri PM dihantar ke AGC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menyerahkan kertas siasatan berhubung kes pengarang buku kontroversi ‘Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia’ yang didakwa menghina Jata Negara ke Pejabat Peguam Negara (AGC).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, sebanyak tiga kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 8(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

“Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) dan kertas siasatan sudah diserahkan kepada AGC pada 25 Oktober lalu.

“Ia masih dalam peringkat kajian pihak terbabit,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman hari ini.

Pada 16 Oktober lalu, pengarang buku yang disiasat susulan laporan mengenai penghinaan terhadap Jata Negara ditahan polis di Pejabat Imigresen Kelana Jaya, dekat sini, semasa memohon pembaharuan pasport.

Pada 2020, PDRM menjalankan siasatan terhadap Kean berkaitan gambar kulit buku Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia’, didakwa menghina Jata Negara.

Berdasarkan siasatan, penyunting buku itu memegang status Pemastautin Tetap (PR) Australia sejak lebih 10 tahun lalu sebelum dikesan menyambut perayaan Tahun Baharu Cina di Malaysia bersama keluarganya pada awal 2020 sebelum kembali semula ke Australia.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai perkembangan siasatan hantaran didakwa berunsur fitnah terhadap isteri Perdana Menteri, Razarudin berkata, kertas siasatan kes itu juga sudah diserahkan kepada AGC.

“Kes ini turut disiasat oleh USJT dan kertas siasatan sudah diserahkan kepada AGC pada 31 Oktober lalu,” katanya.

Tambahnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

Terdahulu, PKR cabang Bandar Tun Razak membuat laporan polis terhadap tiga pengguna media sosial yang didakwa memuat naik hantaran berbaur fitnah terhadap Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Laporan dibuat Ketua Wanita PKR cabang Bandar Tun Razak, Jamilah Syed Mohamed di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras.

Susulan itu, polis merakam keterangan penyedia Kandungan TikTok, Syarul Ema Rena Abu Samah atau lebih dikenali sebagai Ratu Naga bagi membantu siasatan berkaitan hantaran itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN