19 sekolah di enam negeri terima ancaman bom palsu

19 sekolah di enam negeri terima ancaman bom palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 19 laporan polis diterima Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai ancaman bom palsu di beberapa sekolah kelolaan Kementerian Pendidikan Malaysia, sekolah antarabangsa dan sekolah swasta di seluruh negara hari ini.

Daripada jumlah itu, tujuh laporan diterima di Selangor selain Kuala Lumpur (lima laporan) ; Johor (tiga laporan) ; Pulau Pinang (dua laporan); Negeri Sembilan dan Perak (satu laporan) setakat pukul 6 petang ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, ancaman tersebut dihantar melalui dua akaun emel menggunakan nama ‘taktstorer’ dari bahasa Jerman yang bermaksud ‘pengganggu ketenteraman’ dari penyedia perkhidmatan emel beeble.com. 

Kata beliau, sebaik sahaja dimaklumkan mengenai ancaman, PDRM dengan kerjasama sekolah-sekolah yang terlibat segera mengambil tindakan bagi mengosongkan premis-premis yang terlibat. 

“Demi keselamatan, pemindahan (evacuation) pelajar ke lokasi selamat turut dijalankan dengan segera oleh pihak sekolah dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia ke lokasi-lokasi berkumpul (assembly points) seperti mana ditetapkan di sekolah masing-masing, sebelum pelajar dibenarkan beredar pulang. 

“Tindakan pembersihan keselamatan (security flushing) bom dijalankan secara rapi oleh elemen-elemen PDRM di semua lokasi yang terlibat. Namun, tiada sebarang ancaman yang dikesan,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, kata beliau, dalam kes ini, siasatan mendapati emel ancaman adalah palsu dan tiada bukti kewujudan risiko bom di mana-mana sekolah seperti didakwa. 

“Siasatan menunjukkan kedua-dua alamat emel yang digunakan bagi menghantar ancaman baru dicipta dan tidak pernah digunakan di mana-mana servis internet. 

“Kandungan asal email ancaman adalah dalam bahasa Inggeris yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu menggunakan aplikasi penterjemah,” jelasnya.

Tambah beliau, kandungan emel yang sama dikesan pernah dihantar ke 70 buah sekolah di Jamaica pada 12 november lalu melalui penyedia perkhidmatan emel yang sama. 

Ujar beliau, siasatan turut menjurus sama ada insiden di Malaysia mempunyai kaitan dengan kejadian di Jamaica yang dipercayai didalangi seorang individu bermasalah.

“Suspek dipercayai mungkin pernah mengalami penderaan ketika zaman kanak-kanak dan kurang perhatian, namun, mempunyai kepakaran dalam bidang perisian komputer untuk melindungi identitinya,” jelasnya.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksye 507 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menakutkan secara jenayah dengan jalan perhubungan sembunyi nama.

“Siasatan juga mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian dan lain-lain,” ujarnya.

Razarudin menegaskan, PDRM memandang serius sebarang bentuk ancaman bom dan akan mengambil tindakan segera bagi menyiasat sebarang ancaman tanpa gagal. 

“PDRM yakin dan memberi kepastian bahawa tahap keselamatan pelajar serta guru-guru adalah terjamin di seluruh negara. 

“Siasatan  menyeluruh terus dijalankan berhubung perkara ini,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN