KANGAR: Kempen Kesedaran Kanser-Sehari Bersama Yakult yang berlangsung di Dewan Besar Rumah Seri Kenangan di sini semalam mendapat sambutan cukup meriah dengan penglibatan lebih 100 peserta.
Program yang bermula pada pukul 9 pagi itu merupakan inisiatif kali kelapan dan julung kali dilaksanakan di Perlis oleh Yakult Malaysia pada tahun ini.
Pengurus Kanan Jabatan Perhubungan Awam dan Sains Yakult Malaysia, Lim Siew Ling berkata, pelaksanaan program itu mendapat penglibatan penghuni Rumah Seri Kenangan dan masyarakat awam yang hadir bagi menjalani saringan secara percuma membabitkan kesihatan asas, penilaian otot dan mobiliti serta pemeriksaan pra-kanser.
“Program ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) Yakult Malaysia untuk menyumbang semula kepada masyarakat selaras dengan falsafah syarikat iaitu ‘kami menyumbang kepada kesihatan dan kebahagiaan semua orang di seluruh dunia’.
“Kami berharap kesedaran kepentingan penjagaan kesihatan dapat disemai dalam kalangan komuniti menerusi pelaksanaan program ini,” katanya di sini semalam.
Menerusi program berkenaan, rakan strategik Yakult Malaysia seperti Hospital Pakar KPJ Perlis, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) serta Farmasi Alpro Arau turut menawarkan pelbagai jenis saringan kesihatan buat peserta.
Selain itu, terdapat juga sesi perkongsian ilmu daripada pakar-pakar kesihatan antaranya mengenai topik kanser payu dara, kanser usus dan kepentingan saringan awal untuk pencegahan penyakit.
Malah, sesi perkongsian tips pemakanan seimbang turut disampaikan kepada para peserta untuk menggalakkan mereka mengekalkan gaya hidup sihat.
Dalam pada itu, Siew Ling berkata, pelaksanaan program berkenaan juga adalah sejajar dengan pembukaan cawangan pertama syarikat probiotik itu di Perlis beberapa bulan lalu.
“Kami juga menyediakan perkhidmatan di mana wanita Yakult akan pergi rumah ke rumah untuk memberi maklumat tentang kepentingan penjagaan usus dan kebaikan minuman probiotik.
“Malah, terdapat juga perkhidmatan penghantaran minuman probiotik ini ke rumah pelanggan disediakan menerusi wanita Yakult,” katanya.
Tambahnya, pelaksanaan program itu juga akan diteruskan di Wilayah Persekutuan selepas ini bagi mendidik masyarakat tentang kepentingan penjagaan kesihatan.-UTUSAN