KANGAR: Yakult Malaysia akan menganjurkan Kempen Kesedaran Kanser – Sehari Bersama Yakult di Rumah Seri Kenangan di sini pada Selasa ini bermula pukul 8.30 pagi sehingga 12 tengah hari.
Program kali kelapan dan julung kalinya dilaksanakan di Perlis itu merupakan komitmen Yakult Malaysia dalam memberikan kesedaran kesihatan buat masyarakat setempat.
Menerusi penganjuran tersebut, terdapat pelbagai pengisian menarik disediakan buat orang ramai antaranya seperti saringan kanser payu dara, kanser usus, bicara sihat, cabutan bertuah dan pelbagai lagi aktiviti menarik lain.
Pelaksanaan program tersebut juga adalah sejajar dengan pembukaan cawangan pertama syarikat probiotik berkenaan di Perlis beberapa bulan lalu.
Selain itu, program berkenaan juga bertujuan bagi mendidik dan menyediakan saringan buat masyarakat setempat agar lebih peka terhadap tahap kesihatan masing-masing.
Rakan strategik Yakult Malaysia seperti Hospital Pakar KPJ Perlis, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) serta Farmasi ALPRO Arau akan menawarkan pelbagai jenis saringan kesihatan kesihatan termasuk pemeriksaan asas, penilaian otot, mobiliti serta pra kanser sewaktu program berkenaan.
Terdapat juga sesi perkongsian ilmu daripada pakar-pakar kesihatan antaranya dari Hospital Pakar KPJ Perlis mengenai topik kanser payu dara, kanser usus dan kepentingan saringan awal untuk pencegahan penyakit.
Selain itu, sesi perkongsian lain juga akan disampaikan oleh pakar pemakanan dari Klinik Kesihatan Kampung Gial bagi menyampaikan tips pemakanan seimbang untuk mengekalkan gaya hidup sihat.
Melalui pelaksanaan program ini, Yakult Malaysia akan memberi penekanan kepada masyarakat terhadap kepentingan pengambilan probiotik dalam rutin harian untuk usus yang kuat bagi menyokong sistem imuniti badan.
Malah, penganjuran program itu juga adalah selaras dengan falsafah korporat Yakult iaitu ‘Kami menyumbang kepada kesihatan dan kebahagiaan semua orang di seluruh dunia’.
Untuk maklumat lanjut mengenai program berkenaan, orang ramai boleh melayari laman web Yakult di www.yakult.com.my. – UTUSAN










