Wujudkan akta halang calon kes mahkamah bertanding pilihan raya

Wujudkan akta halang calon ada kes mahkamah bertanding pilihan raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Wujudkan akta baharu bagi menghalang individu yang masih dalam siasatan atau kes mahkamah daripada menyertai mana-mana pilihan raya.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Program Sarjana Muda Undang-Undang dan Syariah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Noorfajri Ismail berkata, undang-undang sedia ada perlu dipinda dengan mewujudkan peruntukan khusus dalam akta tersebut bagi memastikan tiada calon dibenarkan menyertai pilihan raya sehingga kes mereka selesai.

“Calon hendaklah diisytiharkan sebagai bebas dari sebarang siasatan atau pendakwaan sama ada oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau pihak mahkamah sebelum dibenarkan semula menyertai pilihan raya.

“Ini bagi membolehkan satu siasatan yang adil, telus dan efektif dapat dilakukan tanpa dilihat terdapat kecenderungan mengganggu atau mempengaruhi proses siasatan kes atau pendakwaan kes yang sedang berjalan.

“Sebelum ini, terdapat dua kerangka perundangan berkaitan kesalahan rasuah secara umum iaitu Akta SPRM dan Akta Kesalahan Pilihan Raya secara khusus, namun, tiada undang-undang yang melarang mana-mana individu yang sedang dalam siasatan untuk menyertai pilihan raya,” katanya.

Semalam, akhbar ini melaporkan, SPRM menegaskan bahawa keputusan calon yang layak bertanding pada pilihan raya adalah keputusan penuh daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, sama ada calon bertanding terlibat dalam isu rasuah atau tidak, perkara melayakkan seseorang itu bertanding adalah di bawah bidang kuasa SPR.

Kata Azam, SPRM sama sekali tidak terlibat untuk menentukannya, sebaliknya hanya akan menyiasat kes atau isu dikaitkan dengan rasuah.

Noorfajri berkata, parti politik perlu mengutamakan prinsip integriti dalam pemilihan mana-mana individu untuk menjadi calon.

“Calon ‘winable’ atau popular hendaklah mempunyai rekod yg bersih beserta tapisan SPRM atau PDRM sebelum dibenarkan menyertai pilihan raya, ini selaras dengan konsep Kedaulatan Undang-Undang (Rule of Law) yang terkandung dalam Rukun Negara.

“Walaupun calon layak bertanding, namun, perlu direhatkan dari menyertai pilihan raya jika sedang dalam siasatan. Ini bersamaan dengan peraturan-peraturan penjawat awam yang merehatkan pegawai awam yang sedang disiasat atau didakwa sehingga mahkamah melepas dan membebaskan pegawai tersebut.

“Mengambil contoh yang sama, sekiranya calon yang sedang disiasat berpotensi untuk dilantik menjadi Menteri, timbalan menteri atau mana-mana jawatan awam, ini akan menghakis kepercayaan awam jika mereka dilantik semasa proses siasatan atau pendakwaan sedang berjalan, utamakan Kedaulatan Undang-Undang dalam perkara ini,” ujarnya.

Beliau berkata, SPR perlu diberikan kuasa untuk menjalankan saringan buat mana-mana individu sebelum membenarkan mereka menyertai mana-mana pilihan raya.

Ini sebagai contoh deklarasi yang perlu diberikan oleh bakal calon bahawa mereka tidak terlibat dengan siasatan atau pendakwaan dan jika mereka melakukan deklarasi palsu, maka, pencalonan mereka boleh ditolak atau dibatalkan serta berdepan pendakwaan oleh SPR sendiri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN