MELAKA: Seorang wanita warga Vietnam ditemukan maut dalam longkang sebuah kondominium di Jalan Syed Abdul Aziz, Banda Hilir di sini kira-kira pukul 12.15 tengah malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, mangsa, Nguyen Thi Hong Loan, 26, berasal dari An Giang, Vietnam dipercayai jatuh dari tingkat 12 di blok B, kondominium berkenaan.
Beliau berkata, menurut saksi yang juga rakan serumah mangsa, wanita itu datang dari Seremban, Negeri Sembilan berjumpa dan duduk di rumah saksi selama tiga bulan bermula awal Julai lalu.
Katanya, mangsa dikatakan akan pulang ke Vietnam minggu depan kerana mahu menyelesaikan permasalahan bapanya di kampung.
“Si mati juga ada mengatakan yang dia berasa sangat tertekan kerana bapanya di kampung selalu menelefonnya meminta duit sebanyak RM20,000 untuk tujuan tidak pasti.
“Semalam (kelmarin) lebih kurang pukul 10.30 malam, selepas selesai makan malam bersama si mati, saksi ke dapur untuk mencuci pinggan dan ketika itu si mati berseorangan di ruang tamu.
“Selepas 15 minit selesai mencuci pinggan, saksi ke ruang tamu dan mendapati si mati tiada di ruang tamu. Dia tidak mengesyaki apa-apa, sebaliknya menganggap si mati masuk ke bilik untuk tidur.
“Kira-kira pukul 12.05 tengah malam, saksi mendengar bunyi siren ambulans dan melihat ke tingkat bawah rumah lalu mendapati si mati berada dalam longkang bawah blok rumahnya dalam keadaan tertiarap,” katanya semalam.
Christopher berkata, pemeriksaan awal pada badan mangsa dan lokasi kejadian tidak menemukan sebarang unsur perbuatan jenayah.
“Menurut saksi sama, si mati sebelum ini pernah dilihat dalam keadaan gelisah dan kemurungan dan mengatakan mahu membunuh diri akibat tertekan desakan bapanya yang meminta duit.
“Sedangkan si mati tidak mempunyai duit dan telah beberapa bulan tidak bekerja,” jelasnya. – UTUSAN









