Wad hospital Lembah Klang sesak, penuh

Wad hospital Lembah Klang sesak, penuh

Hospital Kuala Lumpur antara yang berhadapan isu wad yang sesak sehingga ada pesakit terpaksa menunggu di Jabatan Kecemasan sebelum boleh masuk ke wad. – UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Wad di bebe­ra­pa hospital Lembah Klang di­­laporkan sesak termasuk dalam ka­langan pesakit warga emas berikutan kapasiti yang ditawarkan terhad.

Masalah ini menyebabkan wujud rasa tidak selesa dalam kalangan pesakit dan waris ke­rana terpaksa menunggu lama sebelum mendapatkan rawatan.

Tinjauan Utusan Malaysia di Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Klang dan Hospital Shah Alam mendapati, kes­e­sakan bermula di Jabatan Kecemasan menyebabkan ada pe­sakit terpaksa menunggu lama sebelum dapat diwadkan.

Seorang pegawai perubatan yang bertugas di HKL yang enggan dikenali berkata, katil penuh bukan satu isu baharu, malah, berlaku sejak puluhan tahun lalu.

Malah, di tempat beliau bertugas, ada pesakit yang terpaksa menunggu di Jabatan Kecema­san sehingga dua tiga hari sebelum dapat masuk ke wad.
“Isu katil penuh ini antara yang dilakukan pihak atasan adalah tambah katil kanvas. Tetapi katil kanvas pun bukan untuk semua pesakit sebab ada had berat badan.

“Tetapi, kadang kala katil kanvas pun boleh habis. Itu yang menyebabkan boleh ada 100 pesakit terpaksa tunggu di kecemasan sebelum boleh naik ke wad.

“Masalahnya adalah kami pusat rujukan, jadi, kami tidak boleh tolak pesakit. Semua pesakit yang datang kami kena terima walaupun penuh. Berbeza dengan hospital lain, mereka boleh tolak pesakit kalau mereka sudah penuh.

“Lebih-lebih lagi selepas ada akses pengangkutan awam ke hospital kami, pesakit kami bertambah, yang dari Serdang, Sungai Buloh semua datang ke hospital kami,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Disember lalu, Dr. Zaliha Mustafa berkata, Kementerian Kesihatan sudah mula merangka pelan dan perancangan bagi menyelesaikan isu kesesakan di jabatan terbabit serta memastikan mengekalkan perkhidmatan cekap.

Susulan itu, Kementerian Kesihatan tampil dengan tujuh langkah khusus untuk mengatasinya dengan tindakan audit dalaman dan penelitian semula keberkesanan inisiatif sedia ada; pemerkasaan inisiatif ‘Lean Healthcare’ selaku pendekatan untuk menjalankan sebuah organisasi yang menyokong konsep penambahbaikan berterusan dan melaksanakan Projek ‘Short Stay Unit (SSU) yang memfokuskan kepada pesakit stabil yang memerlukan rawatan kurang 72 jam.

Mengulas lanjut, pegawai perubatan itu mengakui, jumlah pesakit yang tinggi dengan kakitangan yang tidak seimbang juga menyukarkan pesakit mendapat rawatan sewajarnya.

Selain itu, kakitangan kesihatan juga berdepan dengan keletihan fizikal dan mental.

Seorang pesakit di hospital yang sama, Daniel Isqandar Ahmad Bakri, 24, ketika ditemui berkata, dia perlu menunggu selama empat jam sebelum dapat daftar masuk ke dalam wad kerana katil penuh.

Bagaimanapun, dia berpuas hati dengan rawatan yang diberikan, cuma, berasa tidak selesa dengan jumlah pesakit yang terlalu ramai.

“Dari segi kecekapan dan pemantaun, pihak hospital mengambil berat tentang keadaan kesihatan pesakit. Pihak hospital perlu memberi ruang menunggu yang lebih besar untuk para pesakit tunggu dan beristirehat serta memperbanyakkan lagi katil-katil di wad hospital,” katanya.

Dalam pada itu, waris pesakit, Muthu Kumaran, 42, berkata, kerajaan perlu semak semula jumlah katil bagi setiap hospital supaya dapat menampung jumlah pesakit yang ada.

Seorang lagi waris pesakit, Zahirani Nor, 46, berkata, dia yakin kos perubatan yang terlalu tinggi di hospital swasta menyebabkan rakyat memilih mendapatkan rawatan di hospital kerajaan sehingga menjadi sesak.

Sementara itu, tinjauan di Hospital Shah Alam turut mendapati berlaku masalah katil penuh dan menurut seorang pesakit, Shah Faizqanda Reza, 35, dia terpaksa menunggu hampir empat jam untuk mendapatkan rawatan dan terpaksa menahan kesakitan.

“Keadaan wad kecemasan pada ketika itu agak sibuk dengan pesakit-pesakit lain yang menunggu giliran mereka untuk dirawat,” katanya.

Seorang waris, Hoh Nee Ling, 50, turut berkongsi kekecewaannya terhadap layanan yang diberikan oleh kakitangan hospital itu berikutan kekurangan kakitangan.

“Prosedur yang banyak menyukarkan saya mendaftarkan abang kandung untuk masuk ke dalam wad,” katanya.

Di Hospital Klang pula, pesakit kemalangan jalan raya, Bibi Masliyana, 33, berkata, bermacam-macam peristiwa terpaksa dilaluinya di wad kecemasan di hospital berkenaan.

“Saya luka di kaki akibat kemalangan, tetapi pihak hospital memberi keutamaan kepada pesakit yang lebih parah untuk dimasukkan ke dalam wad,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN