KUALA NERUS: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) memberi jaminan akan memastikan semua pelajarnya yang berasal daripada keluarga berpendapatan rendah mendapat bantuan kebajikan yang sewajarnya.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMT, Prof Dr. Mohd. Izani Mohd. Zain berkata, terbaru, UMT telah membantu seorang pelajar dari Kampung Kepas Apam, Pasir Mas, Kelantan yang berdepan masalah kekangan kewangan untuk mendaftar masuk ke universiti itu.
Menurutnya, UMT telah bekerjasama dengan Yayasan Raja Shamri (YRS) untuk memastikan pelajar itu dapat melanjutkan pengajian ke UMT dan akan memastikannya diberikan perhatian sebaiknya sepanjang pengajian di kampus sehingga bergelar graduan UMT cemerlang.
“Pelajar tersebut, Nurul Akhmal Mohamad Shamsuddin adalah anak kelima dari tujuh beradik dan merupakan anak pertama dalam keluarga yang melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pelancongan di UMT.
“Oleh itu, Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UMT akan memastikan Nurul Akhmal berpeluang menerima bantuan pelbagai bentuk sepanjang pengajian di UMT.
“Menerusi Pejabat Hal Ehwal Pelajar (PHEP) UMT pula, beliau layak mendapat Dana Siswa UMT sebanyak RM500 selepas mendaftar sebagai pelajar UMT,” katanya di sini, semalam.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan seorang penoreh getah buntu untuk mencari RM2,000 bagi membolehkan anak perempuannya itu menyambung pengajian di UMT.
Sementara itu, penoreh getah tersebut, Mohamad Shamsuddin Mamat, 59, sebak apabila wang tunai berjumlah RM2,000 yang diperlukan untuk mendaftarkan anak perempuannya bagi menyambung pengajian di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berjaya dikumpul.
Katanya, rezeki itu hadir selepas kepayahan hidupnya disiarkan oleh Utusan Malaysia sekali gus menyaksikan orang ramai datang mengulurkan sumbangan.
“Alhamdulillah…ini rezeki Nurul Akhmal dengan ini dapatkan dia (Nurul Akhmal) meneruskan cita-cita untuk membela keluarga dengan menyambung pengajian di UMT.
“Selain itu, saya merakamkan jutaan terima kasih kepada pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Third Force Pasir Mas banyak membantu dengan membayar yuran pendaftaran serta menyumbangkan sebuah komputer riba,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Mengulas lanjut, beliau berkata, PHEP UMT akan menghebahkan pembukaan permohonan pelbagai bantuan seperti Tabung Kebajikan serta Dana Siswa UMT sepanjang tempoh melanjutkan pengajian di UMT.
Katanya, PHEP UMT turut mewujudkan Skim Bekerja di Kampus (Job on Campus) untuk memberi peluang kepada para pelajar UMT yang ingin mendapatkan pendapatan sambilan bagi menampung keperluan hidup selain melatih mereka hidup berdikari.
“Menerusi Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM) UMT, Nurul Akhmal juga berpeluang untuk memohon pelbagai bantuan dalam menampung keperluan harian serta pembelajaran seperti zakat, Dermasiswa Al-Falah bagi pelajar cemerlang, Dermasiswa Al-Amin bagi sara hidup dan Al-Islah bagi pelajar asnaf miskin cemerlang.
“Melihat kepada pelbagai inisiatif dan bantuan daripada UMT ini, kita percaya Nurul Akhmal akan dapat menikmati pengajian dengan selesa sekali gus bukti bahawa akses kepada pendidikan tinggi di negara tidak terhalang hanya kerana masalah kewangan,” katanya. – UTUSAN










