Tumpu pembangunan industri beras Malaysia

Tumpu pembangunan industri beras Malaysia elak bergantung negara lain – Johari 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kerajaan perlu menumpukan kepada pembangunan industri beras di negara ini supaya menjadi industri yang menguntungkan.

Dengan menumpukan kepada pembangunan industri beras, katanya, ia menjadikan negara lebih berdikari dan tidak bergantung dengan negara-negara pengeluar beras lain.

Sehubungan itu, bekas Menteri Kewangan II itu berkata, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan memerlukan langkah untuk menggalak bidang pengeluaran beras kerana ia satu-satunya industri yang membolehkan Malaysia tidak bergantung kepada negara lain.

JOHARI ABDUL GHANI

“Contohnya, industri kelapa sawit, apabila ia dilihat mendatangkan keuntungan, syarikat besar turut terbabit dalam membangunkannya sehingga Malaysia menjadi pengeksport kedua terbesar di dunia.

“Yang paling penting, kita mahu mengalakkan pesawah dan mereka boleh mendapat keuntungan. Apabila syarikat besar tengok industri ini boleh menguntungkan, mereka akan sama-sama terbabit secara langsung untuk membangunkan industri beras ini,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika perbahasan sesi penerangan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkenaan isu bekalan beras putih tempatan.

Mengulas lanjut, Johari turut mengambil contoh di Vietnam pada 1980 menyaksikan mereka mengimport beras seperti Malaysia tetapi, kini sudah jadi pengeksport ketiga terbesar dunia kerana ada unsur keuntungan kepada industri dan pesawah.

“Jika kita cerita ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’, masalah bekalan beras ini akan terus berlanjutan dan keselamatan makanan bagi beras ini tidak akan boleh diatasi.

“Jika kita benar-benar beri tumpuan dan memastikan bekalan dan permintaan serta keuntungan atau jualan boleh mengatasi kos, saya percaya jika kita boleh buat dalam soal kelapa sawit, mengapa tidak boleh buat dalam soal beras,” katanya.

Dalam pada itu, Johari mencadang supaya kerajaan menyediakan subsidi bagi pembelian beras putih tempatan untuk 3.2 juta isi rumah golongan berpendapatan rendah (B40) jika harga beras itu dinaikkan.

“Kita mahu kalau boleh dijual (dengan harga lebih tinggi dari harga siling), biar ia naik sebab ia menggalakkan petani untuk terus menanam padi kerana mereka tahu, ia boleh mendapatkan keuntungan yang banyak,” katanya.

Beliau memberi contoh, jika kerajaan menetapkan harga siling RM2.60 per kilogram (kg) atau RM26 bagi 10 kg dan membenarkannya dijual pada harga RM32, maka ada jurang RM6.

“Saya kira, untuk selesaikan masalah isi rumah B40 dalam jangka masa pendek ini, jika RM6 (bagi setiap 10 kg) dan (penggunaan) 20 kg, didarab dengan 12 bulan, dalam RM460 juta subsidi setahun (diperlukan) untuk 3.2 juta isi rumah.

“Apabila beras sudah dapat diimport semula, maka subsidi ini boleh ditarik balik secara perlahan-lahan,” katanya.

Mohamad kemudian menyifatkan cadangan Johari sebagai amat baik dan akan memaklumkannya kepada Kementerian Kewangan esok supaya dapat dimasukkan dalam Belanjawan 2024 yang akan dibentang Jumaat ini.

“Ini cadangan yang baik, yang membolehkan kita melihat kestabilan yang akan berlaku,” katanya. – UTUSAN

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.