Ekonomi Malaysia berkembang 5.1 peratus pada 2024

Ekonomi Malaysia berkembang 5.1 peratus pada 2024

PEMANDANGAN Kuala Lumpur.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan sebanyak 5.1 peratus pada 2024, meningkat berbanding 3.5 peratus dengan nilai ditambah keseluruhan mencecah RM1.65 trilion berbanding RM1.57 trilion pada 2023, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Katanya, sektor perkhidmatan kekal sebagai penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan sumbangan 59.4 peratus, berkembang 5.3 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Sektor pembuatan dan pertanian masing-masing turut mencatat pertumbuhan 4.2 peratus dan 3.1 peratus, berbanding hanya 0.7 peratus dan 0.2 peratus pada 2023.

“Sementara itu, sektor perlombongan dan pengkuarian meningkat daripada 0.5 peratus kepada 0.9 peratus, manakala sektor pembinaan terus mengukuh dengan pertumbuhan ketara sebanyak 17.5 peratus,” katanya dalam kenyataan. 

Mengulas lanjut, DOSM memaklumkan kesemua negeri mencatat pertumbuhan positif pada 2024, dengan lima negeri mengatasi paras pertumbuhan nasional. 

“Johor mencatat kadar tertinggi iaitu 6.4 peratus, diikuti Selangor (6.3 peratus), Kuala Lumpur (6.2 peratus), Pahang (5.7 peratus) dan Labuan (5.4 peratus).

“Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Sarawak dan Pulau Pinang kekal sebagai penyumbang utama kepada ekonomi negara, menyumbang sebanyak 68.2 peratus kepada keseluruhan KDNK Malaysia.

“Johor muncul sebagai negeri dengan pertumbuhan tertinggi, mencatat kadar 6.4 peratus dengan nilai KDNK mencecah RM158 bilion,” katanya.

Menurut DOSM, prestasi cemerlang Johor disumbang oleh kedudukannya yang strategik di selatan tanah air, jaringan infrastruktur mantap, pelabuhan utama serta zon perindustrian yang luas.

“Pembangunan pesat pusat data di negeri itu turut menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi, khususnya dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan.

“Sektor perkhidmatan Johor mencatat pertumbuhan 6.0 peratus, disokong oleh pelaburan berskala besar dalam pembangunan pusat data.

“Subsektor kewangan dan insurans, hartanah serta perkhidmatan perniagaan turut mencatat pertumbuhan memberangsangkan 8.7 peratus, diikuti subsektor utiliti, pengangkutan dan penyimpanan serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang berkembang 6.0 peratus,” jelasnya.

Dalam pada itu, sektor pembinaan di Johor melonjak 42.7 peratus pada 2024, dipacu oleh subsektor pembinaan bangunan dan kejuruteraan awam melibatkan projek pencawang kuasa, sistem penyejukan berteknologi tinggi serta rangkaian fiber optik berkapasiti tinggi.

Katanya, pembangunan infrastruktur digital tersebut turut menyokong sektor pembuatan yang berkembang 4.2 peratus, dipacu oleh pengeluaran produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka bentuk serta produk elektrik, elektronik dan optikal yang masing-masing meningkat 7.1 peratus dan 1.9 peratus.

Melengkapi kemajuan sektor teknologi dan perindustrian, Johor juga kekal sebagai pengeluar utama hasil pertanian negara dengan sumbangan 17.3 peratus kepada KDNK sektor pertanian nasional.

“Sektor pertanian negeri ini kembali pulih dengan pertumbuhan 4.2 peratus berbanding penyusutan 1.3 peratus pada 2023, dipacu oleh peningkatan pengeluaran kelapa sawit.

“Lonjakan ini turut menyokong prestasi subsektor produk minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan serta pemprosesan makanan yang berkembang 6.7 peratus, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan sektor pembuatan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN