BUKIT MERTAJAM: Seorang tukang masak warga tempatan berdepan detik mencemaskan apabila hampir diserang seorang lelaki yang dikenalinya di sebuah restoran di Taman Kota Permai di sini, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, kejadian itu berlaku ketika mangsa sedang memasak di restoran tersebut kira-kira pukul 7.55 pagi.
Menurut beliau, ketika kejadian, suspek yang juga seorang warga tempatan secara tiba-tiba membaling kerusi dan mengeluarkan sebilah parang panjang sebelum mengacukan ke arah mangsa.
“Mangsa kemudian bertindak melarikan diri ke bahagian dapur dan pergaduhan antara mereka kemudian berjaya dileraikan oleh pelanggan yang berada di dalam restoran berkenaan.
“Tidak ada sebarang kecederaan dialami oleh pengadu susulan insiden tersebut,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Cheng San berkata, suspek yang berusia 40-an itu bagaimanapun berjaya diberkas di sebuah rumah tidak jauh dari lokasi kejadian dan polis turut merampas sebilah parang yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.
“Suspek dan barang kes (parang) kemudian dibawa ke ibu pejabat polis (IPD) di sini untuk siasatan lanjut.
“Punca kejadian masih dalam siasatan dan ketika ini kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah,” ujar beliau. – UTUSAN