PUTRAJAYA: Ahli akademik di negara ini tidak hanya perlu sekadar menyampaikan ilmu dan pengetahuan sahaja, sebaliknya mempunyai tanggungjawab lebih besar.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tanggungjawab itu termasuk menyediakan negara dengan bakat terbaik, berkongsi kepakaran demi manfaat rakyat dan menghargai ketuanan ilmu.
Beliau berkata, ahli akademik juga perlu bersama-sama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam merealisasikan tanggungjawab besar itu.
“Masyarakat dalam setiap tingkat peradaban kini berhadapan dengan pelbagai cabaran tersendiri dan cabaran paling besar kepada umat manusia adalah kejahilan dan kejumudan.
“Masyarakat yang jahil dan jumud, bukan sahaja tidak akan maju tetapi akan merosakkan diri sendiri. Atas dasar itu, peranan dan tugas golongan bijak pandai dan
mereka yang berilmu, sebenarnya sangat besar,” katanya ketika berucap pada sambutan Hari Akademia dan Bulan Akademia Peringkat Kebangsaan 2023 di sini hari ini.
Katanya, ahli akademik juga perlu berupaya mengolah segala ilmu yang ada agar boleh disesuaikan dengan keperluan masyarakat sekali gus menawarkan penyelesaian atau nilai tambah pada kesejahteraan hidup.
“Ahli akademik juga perlu bijak mengadaptasi dan memanfaatkan teknologi semasa. Kita mesti jelas bahawa teknologi bukan musuh ilmu dan sudah pastilah, teknologi bukan musuh ahli akademik.
“Dunia akademik mesti berubah dan menyelaras cara berfikir dan cara bekerja. Ahli akademik tidak boleh menolak teknologi dan melihat perkembangan aplikasi serta dunia digital sebagai ancaman atau perkara asing yang boleh diketepikan,” katanya. – UTUSAN










