SHAH ALAM: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyifatkan dakwaan mencalonkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, Terengganu sebagai tidak munasabah.
Justeru, beliau berkata, sebarang dakwaan yang mahu ditimbulkan perlu berdasarkan perkara yang munasabah.
“Tidak…tidak munasabah. Hendak timbulkan (cerita) berhubung calon PRK Kemaman biarlah munasabah,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Muktamar Tahunan Pas Ke-69 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini, hari ini.
Abdul Hadi berkata demikian ketika ditanya mengenai calon untuk PRK Kemaman selepas sebuah portal media sebelum ini melaporkan Pas berkemungkinan meletakkan Dr. Mahathir sebagai calon mereka.
Laporan yang memetik sumber rapat Dr. Mahathir itu mendakwa, rundingan berhubung perkara itu dibuat supaya peranan semak dan imbang terhadap kerajaan dapat dilakukan lebih berkesan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari mengundi bagi PRK Kemaman pada 2 Disember nanti manakala hari penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 18 dan 28 November. -UTUSAN