PETALING JAYA: Sebuah syarikat tempatan tampil memohon maaf atas tindakan menggunakan gambar dutanya, Nurul Shuhada Mat Shukri bersama bekas suaminya yang juga pelakon, Hafidz Roshdi untuk mempromosikan sebuah produk pelangsingan badan.
Wakil syarikat berkenaan, dalam satu hantaran di Instagram memaklumkan pihaknya tidak menyangka gambar tersebut menyinggung sensitiviti pihak lain justeru menyuarakan kesediaan untuk bertanggungjawab atas kekecohan yang berlaku.
“Dalam isu yang telah terjadi, kami bertanggungjawab untuk menjelaskan salah faham ini kerana posting yang telah dimuat naik Shu ialah 100 peratus bahan yang disediakan pihak kami.
“Kami tidak menyangka isu menggunakan gambar tersebut telah menyinggung sensitiviti sesetengah pihak.
“Saya sebagai wakil ingin memohon maaf kepada semua sekiranya posting tersebut memberi pandangan buruk kepada Shu dan akan menjadikan isu ini sebagai pengajaran pada masa akan datang. Insya-Allah,” tulisnya.
Nurul Shuhada sebelum ini menerima teguran keras pelbagai pihak kerana dikatakan sengaja menggunakan gambar berkenaan untuk mempromosikan sebuah produk pelangsingan badan.
Tindakan tersebut turut mencetuskan kemarahan Hafidz yang mengeluarkan amaran akan mengambil tindakan lanjut sekiranya gambar berkenaan tidak dipadam.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati gambar tersebut tidak lagi digunakan dan diganti dengan gambar yang lain.
Bekas pasangan suami isteri itu bercerai talak satu 22 Februari lalu. Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan dua cahaya mata, Umairah, 6, dan Umar, 2. – UTUSAN