Tiada had masa ditetapkan untuk siasat Roger Ng - Utusan Malaysia

Tiada had masa ditetapkan untuk siasat Roger Ng

RAZARUDIN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Polis tidak menetapkan sebarang tempoh untuk menjalankan siasatan berhubung kes membabitkan bekas pegawai bank, Roger Ng Chong Hwa, 51, yang diekstradisi dari Amerika Syarikat (AS) untuk membantu siasatan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, ini kerana siasatan kes itu akan dijalankan sehingga pihak berkuasa berpuas hati memandangkan isu tersebut melibatkan duit kerajaan dan rakyat.

”Tiada tempoh masa, tiada had (siasatan) sehingga kita puas hati kerana ia melibatkan duit kerajaan dan rakyat.

”Kita akan menjalankan sidang akhbar dari semasa ke semasa, jangan risau, baru dua hari, jangan tidak sabar, ini bukan kes curi ayam,” katanya dalam sidang akhbar di Markas Pasukan Polis Marin Wilayah 1, di sini hari ini.

Pada 19 Disember 2018, Roger mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan bersubahat dengan Goldman Sachs berhubung penjualan bon 1MDB bernilai AS$6.5 bilion dengan menggugurkan fakta material dan membuat kenyataan palsu.

Dia didakwa melakukan semua kesalahan itu di pejabat 1MDB, Tingkat 8, Menara IMC, Jalan Sultan Ismail di sini, antara 19 Mac 2012 hingga 11 November 2013.

Pada 4 September tahun lalu, pertuduhan terhadap Goldman Sachs International Ltd dan dua entitinya di Asia iaitu Goldman Sachs (Asia) LLC dan Goldman Sachs (Singapura) digugurkan selepas Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohonan pendakwaan menarik balik pertuduhan berhubung penjualan bon.

Menurut Razarudin, pihaknya juga meminta orang ramai memberi peluang kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan terhadap Roger.

”Beri peluang kita siasat, kalau ada (maklumat) pun saya tidak boleh dedahkan lagi. Baru dua hari (Roger ditahan),” katanya.

Dalam perkembangan lain, Razarudin berkata, polis akan bersikap adil dalam siasatan terhadap isu video tular membabitkan lelaki yang didakwa dipukul ketika berada dalam tahanan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Klang Selatan.

Malah katanya, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komissioner, Cha Hoong Fong juga telah melaksanakan sidang akhbar berkaitan kes itu.

“Kami akan telus dan adil dalam siasatan kami. Ini komitmen kami. Saya juga telah memaklumkan hasrat saya kepada Ketua Polis Selangor,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai perkembangan 43 rakyat Malaysia yang diselamatkan selepas dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia sindiket Macau Scam di Peru, Razarudin berkata, Kementerian Luar sedang menguruskan tarikh untuk membawa pulang mangsa-mangsa berkenaan.

”Kementerian Luar sedang menguruskan tarikh untuk mereka pulang, saya tidak mahu bercakap panjang sebab kita akan soal siasat mereka selepas mereka pulang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya