BALING: Sebahagian penduduk Kampung Iboi tertekan apabila rumah mereka yang dipenuhi lumpur tidak dapat dicuci apabila bekalan air masyarakat yang digunakan mereka terputus sejak Rabu lalu ekoran kejadian banjir melanda kawasan itu, baru-baru ini.
Keadaan bertambah sukar apabila kawasan tersebut tiada bekalan air Syarikat Air Darul Aman (SADA) yang menyebabkan mangsa yang tinggal di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) tidak boleh balik ke rumah untuk memulakan kerja-kerja pembersihan.
Mariam Abdul Isa, 71, berkata, sejak kejadian itu, dia hanya dapat pulang menjenguk rumah yang tidak boleh dibersihkan walaupun air sudah surut sepenuhnya.
“Sudah tiga hari kami berkampung di PPS, nak balik bersih rumah memang tak boleh lagi sebab air tiada. Memang sukar nak buat kerja-kerja mencuci kalau air tiada, walaupun ada bantuan banyak pihak.
“Lumpur di rumah saya hampir paras betis, maka ia memerlukan air yang banyak jika hendak mencucinya. Setakat ini kami hanya mampu keluarkan barang-barang yang rosak sahaja,” katanya ketika ditemui, semalam.
Che Mah Wahab, 75, juga berdepan masalah sama apabila tidak dapat mencuci rumah yang dipenuhi lumpur itu jika tiada air bersih.
“Semua barang dipenuhi lumpur, anak-anak cucu balik bantu pun mereka hanya guna air sungai yang dipam untuk bersihkan kawasan dalam rumah,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Bekalan Air Masyarakat Kariah Iboi, Malik Arshad berkata, banjir menyebabkan kehidupan lebih 1,000 penduduk yang bergantung kepada bekalan air masyarakat sejak 40 tahun lalu terganggu.
“Banyak paip yang rosak dan pecah akibat arus deras di sungai yang menyebabkan bekalan air masyarakat terputus melibatkan hampir kesemua 500 buah rumah penduduk.
“Kami juga terkilan kerana mereka tidak dapat membersihkan lagi rumah sepenuhnya sehingga terpaksa terus tinggal di PPS walaupun banjir telah surut,” katanya.
Menurut Malik, kerja-kerja membaik pulih bekalan paip yang rosak kini sedang giat dilakukan oleh penduduk kampung mengikut kemampuan yang ada.
“Selain paip terputus, tanah runtuh dan pokok tumbang turut menyebabkan sebahagian besar paip pecah termasuk di laluan sungai.
“Kami perlu baiki bahagian paling penting dahulu dengan harapan bekalan air dapat disalurkan dengan segera. Jika diikutkan memang tiada dana kerana kutipan hanya sekadar RM3 sebulan bagi setiap rumah, jadi kami baiki mana yang utama terlebih dahulu.
“Keadaan paip yang usang dan berusia juga menjadi faktor kerosakan berlaku lebih-lebih lagi ketika dilanda banjir dan arus deras,” katanya. -UTUSAN