Tempoh 36 bulan sebelum PRN, bukan tempoh selesa UMNO

Tempoh 36 bulan sebelum PRN, bukan tempoh selesa UMNO Melaka

AHMAD ZAHID Hamidi (dua dari kanan) memperkatakan sesuatu kepada Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Rais Yasin (dua dari kiri) sambil disaksikan Ab. Rauf Yusoh (kanan) ketika merasmikan pejabat baharu UMNO Bahagian Tangga Batu di Taman Paya Rumput Utama, Melaka. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: UMNO dan Barisan Nasional (BN) Melaka bukan dalam zon selesa, meskipun tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) seterusnya masih berbaki kira-kira 36 bulan atau tiga tahun dari sekarang.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang menyaksikan UMNO gagal memenangi walaupun satu kerusi Parlimen di negeri ini perlu dijadikan pengajaran, walaupun parti itu menang besar pada PRN, November 2021.

Tegasnya, kemenangan dan kekalahan merupakan hakikat politik yang perlu diterima barisan kepemimpinan di Melaka agar terus menyantuni golongan sasar berbeza.

“Tadi saya memberitahu rakan-rakan di Tangga Batu dan kepimpinan UMNO Melaka keseluruhannya, kita mempunyai kira-kira 36 bulan dari sekarang untuk bersiap-siaga, kita tidak mampu untuk berada dalam zon yang selesa.

“Kerana di luar sana kita telah menyaksikan, biarpun Melaka menang lebih daripada tiga per empat majoriti di Dewan Undangan Negeri (DUN), tetapi kita tidak dapat mengekalkan satu pun kerusi Parlimen.

“Ini adalah hakikat politik yang telah kita alami, ada ketikanya kita menang, menang besar dan kekalahan telah menghantui kita. Namun untuk tempoh 36 bulan ini, saya yakin di bawah kepimpinan Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh dengan rakan-rakan kepimpinan bahagian-bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri. Apatah lagi kerajaan negeri yang telah ditadbir dengan lebih baik sekarang ini, saya yakin Melaka akan dapat memberikan pulangan pelaburan (ROI), imbalan kepada pelaburan politik dan pelaburan material yang sebenarnya,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan pejabat baharu UMNO Bahagian Tangga Batu di Taman Paya Rumput Utama di sini, hari ini.

Pada PRN Melaka, BN bukan sahaja kembali membentuk kerajaan negeri, malah berjaya mencatat kemenangan dua pertiga.

Dengan kemenangan itu, BN menyamai pencapaian PRU13 dengan menangi 21 daripada 28 kerusi. Pada PRU14, BN hanya menang 13 kerusi iaitu semua kerusi ditandingi UMNO. – UTUSAN

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.